PONTIANAK: Usaha menjalinkan kerjasama di antara Malaysia dan Indonesia terus diperhebatkan di wilayah Kalimantan Barat.
Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahim berkata, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang baik dan saling bantu-membantu mempromosi sektor pelancongan di antara kedua-dua negara terutama sekali di Pontianak.
“Pihak kerajaan Pontianak saling membantu Konsulat Malaysia di Indonesia dalam mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di Malaysia terutama sekali Sarawak, pada masa yang sama negeri jiran Kalimantan Barat di Sarawak turut melakukan perkara yang sama dalam mempromosikan produk pelancongan di sini.
“Tahun lepas sahaja sejak April sehingga Disember, Sarawak merekodkan lebih 200,000 pelancong dari Pontianak yang datang ke Sarawak dengan pelbagai tujuan,” katanya dalam sidang akhbar sempena kunjungan hormat daripada Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) dan pengamal media dari Sarawak ke Pejabat Walikota Pontianak, semalam.
Usaha itu, katanya, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pada masa yang sama merekodkan peningkatan kepada kemasukan pelancong dari luar negara ke Sarawak.
Justeru, kewujudan jalan perhubungan darat antara Sarawak dan Pontianak turut dilihat dapat menyemarakkan lagi pembangunan dan aktiviti mempromosikan sektor pelancongan di kedua-dua tempat.
Dalam perkembangan yang sama, Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji berkata, cadangan penerbangan langsung dari Kuching ke Pontianak sedang dalam menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan di Indonesia.
Jelasnya, perbincangan bersama pengurusan tertinggi syarikat penerbangan AirAsia telah pun dilakukan.
“Sekarang ini, kita masih menunggu kata putus dari Kementerian Perhubungan (pengangkutan) di Indonesia untuk memulakan semula laluan penerbangan ini.
“Ia satu keperluan untuk kita menghubungkan Kuching, Pontianak dan Jakarta. Ia dapat dilaksanakan dan tidak membawa apa-apa permasalahan,” katanya.
Sehingga ke hari ini tiada penerbangan langsung antara laluan Kuching dan Pontianak selepas ia diberhentikan susulan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, satu-satunya laluan yang sedia ada adalah melalui pengangkutan darat di mana pengembara perlu menempah perjalanan bas selama lapan jam antara kedua-dua bandar melalui sempadan Tebedu-Entikong atau mereka boleh memilih untuk memandu kenderaan mereka sendiri dengan beberapa bayaran tambahan untuk proses imigresen.
Seramai 15 petugas media mewakili pelbagai agensi dari Sarawak dan Malaysia memulakan lawatan selama empat hari ke Pontianak, Indonesia bermula dari 5 hingga 8 Julai 2023.
Rombongan tersebut diketuai oleh Persatuan Wartawan Persekutuan Sarawak (FSJA) yang bertujuan mengukuhkan dan menjalinkan hubungan bersama Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Kalimantan Barat.
Yang turut hadir dalam sesi lawatan itu ialah Kakitangan Bahagian Protokol dan Konsular dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Alexandri Legawa; Presiden FSJA, Andy Jong Wan Joon dan Naib Presiden II, Jacqueline R. David bersama rombongan media Sarawak yang terdiri daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Bernama, RTM, TVS, TV3, Sin Chew Daily, The Borneo Post, Suara Sarawak, DayakDaily dan Utusan Malaysia.
Lawatan itu dilakukan bagi mengunjungi Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji M.Hum dan Walikota Pontianak, Edi Rusdi Kamtono.
Pada sesi lawatan itu, FSJA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Wilayah Kalimantan Barat bagi memupuk hubungan yang lebih baik dalam kalangan wartawan kedua-dua pihak hari ini.
Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di pejabatnya di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.
Menurut Gusti, MoU itu bertujuan meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak melalui mesyuarat tahunan yang dijangka diadakan di Kuching, Pontianak atau tempat yang akan diputuskan pada masa hadapan.
“Pada mesyuarat nanti, kita akan membincangkan isu semasa dalam bidang kewartawanan, teknologi maklumat, sosial, ekonomi, sukan, seni, pelancongan, pendidikan dan budaya.
“Kedua, kita juga akan bertukar maklumat daripada kedua-dua pihak untuk membina imej positif di Sarawak dan Kalimantan Barat, selain membina persahabatan melalui aktiviti kewartawanan,” katanya kepada pemberita semasa majlis itu.
Sementara itu, Jong berkata, MoU itu akan membolehkan FSJA dan PWI Kalbar meningkatkan ekonomi antara negara masing-masing terutama dalam memasarkan produk tempatan mereka.
“Di Sarawak, kita akan melihat banyak jualan produk buatan Indonesia. Begitu juga apabila kita datang ke Indonesia, kita akan dapati produk dari Sarawak. Ini adalah salah satu matlamat kami untuk mempromosikan ekonomi di Sarawak dan Indonesia.
“Dari segi sektor pelancongan, Sarawak mempunyai banyak tempat menarik untuk pelancong seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Niah, Jambatan Darul Hana dan sebagainya,” katanya. -UTUSAN