Jaafar gigih hasilkan produk kraf walaupun lumpuh

Jaafar gigih hasilkan produk kraf walaupun lumpuh

JAAFAR ATHAN memotong kulit lembu untuk dijadikan produk kulit di Felda Tenang, Labis Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Tidak mengenal erti putus asa dan berserah kepada takdir, seorang lelaki yang lumpuh membuktikan dirinya boleh menjadi usahawan berjaya.

Jaafar Athan, 55, yang lumpuh kedua-dua kakinya akibat kemalangan jalan raya 30 tahun lalu tabah dan gigih menghasilkan pelbagai produk daripada kulit di Felda Tenang, Labis, dekat ini.

“Saya lumpuh apabila terlibat dalam kemalangan ketika memandu lori. Pada mulanya saya berasa amat sedih sebab tidak boleh kerja lagi, tapi atas dorongan rakan-rakan dan keluarga, semangat saya untuk bekerja semakin kuat walaupun lumpuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jaafar memberitahu, usahanya bermula 13 tahun lalu apabila rakan sekampung mempelawanya belajar membuat barangan daripada kulit.

Sejak dari itu, dia mula belajar menjahit, memotong dan mereka bentuk kepingan kulit menjadi pelbagai produk seperti beg, dompet dan tali pinggang.

“Alhamdulillah, saya turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal. Dengan duit bantuan itu saya mula berniaga secara kecil-kecilan,” katanya yang menubuhkan syarikat di bawah nama Kraf Kulit Jaafar Enterprise.

Dia mendapat bekalan kulit lembu dan kambing dari Muar dan Kuala Lumpur dengan harga RM400.

“Dengan kepingan kulit ini saya mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 dengan membuat beg, dompet dan tali pinggang,” katanya.

Selain itu, beg panah dan beg motor untuk motosikal Harley Davidson yang dihasilkan anak peneroka Felda Tenang ini turut mendapat permintaan tinggi daripada kalangan pencinta barangan kulit asli.

Dia turut sering menyertai pameran dan jualan sempena karnival kraftangan dan berhasrat untuk memasarkan produknya sehingga keluar negara.

Orang ramai yang ingin menempah atau membeli produk kulit yang dihasilkan Jaafar boleh datang ke No 26 Felda Tenang, Labis atau menghubunginya menerusi talian 011-17467925.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN