Harimau kumbang ceroboh kebun baham 75 ekor kambing, biri-biri

Harimau kumbang ceroboh kebun baham 75 ekor kambing, biri-biri

harimau
AZMI Manan menunjukkan kandang kambing biri-birinya yang kosong selepas diserang harimau kumbang di kebunnya di Bukit Batu Hitam di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 75 ekor kambing termasuk jenis biri-biri dibaham harimau kumbang hingga mengakibatkan dua penternak di Kampung Batu Hitam di sini mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM80,000.

Tinjauan di lokasi mendapati, dua kandang kambing di situ kosong dan hanya tinggal antara empat hingga ke enam ekor sahaja yang tidak dibaham oleh haiwan liar tersebut.

Pemilik kandang kambing biri-biri, Azmi Manan, 62, juga seorang pesara berkata, haiwan buas itu dipercayai memasuki kebunnya pada waktu malam dan kesan kehadirannya diketahui hasil penemuan tapak kaki.

Menurutnya, kejadian serangan. harimau kumbang pertama kali berlaku selepas kelibat haiwan tersebut pernah dilihat kelihatan lima tahun lalu di kampung itu.

“Kejadian berlaku sudah hampir dua minggu lalu secara sikit-sikit… hampir setiap malam lebih kurang tujuh hingga lapan ekor kambing mati dibaham harimau kumbang.

“Pada mulanya, saya menyangkakan biri-biri saya diserang anjing liar yang berjaya masuk ke kebun ini tetapi melihat daripada kesan gigitan dan cakaran agak berbeza kerana kesan serangan dilihat hanya tertumpu kepada organ dalaman sahaja.

“Dalam tempoh dalam dua minggu serangan, kira-kira 40 ekor biri-biri saya mati dan hanya empat ekor berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi pemilik kandang kambing yang juga peniaga, Wan Mohd. Suffian Wan Mohamed, 47, mengesyaki kehadiran harimau kumbang itu selepas melihat keadaan bangkai kambing yang mati.

“Jiran sebelah ada bagi tahu tentang harimau kumbang dan saya terus mendapatkan pengesahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak Perhilitan maklumkan kalau jenis makan dan tinggal itu harimau.

“Ini kerana masa harimau itu makan… kambing lain berbunyi jadi harimau itu akan serang yang lain pula jadi ia seakan berjangkit dan kerana itu banyak yang mati ketika pencerobohan itu.

“Saya juga diberitahu jika harimau itu makan seekor tetapi yang lain diam, harimau itu akan makan seekor itu sahaja,” katanya yang sedih apabila kira-kira 35 ekor kambingnya mati dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Penghulu Mukim Beserah, Nasaruddin Ahmad berkata, setelah laporan dibuat, pihak Perhilitan meletakkan perangkap binatang buas beberapa hari lalu.

“Pihak jabatan percaya harimau kumbang itu akan datang semula memandangkan masih ada lagi haiwan ternakan (sumber makanan) di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya