KUANTAN: Usaha menghapuskan hutang peneroka Felda adalah perjuangan yang digerakkan sendiri warga tanah rancangan itu bermula 2020 di bawah Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) tanpa melibatkan pihak lain termasuk pimpinan politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, usaha itu digerakkan kerana pihaknya melihat Felda tidak mengeluarkan penyata hutang kepada peneroka sejak 15 tahun.
Katanya, banyak rungutan dalam kalangan peneroka yang ragu-ragu tentang pemotongan hutang yang dibuat Felda.
PENYELESAIAN
“Selaku Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, saya berbincang perkara ini bersama Pengerusi Felda waktu itu, Tan Sri Idris Jusoh. Jalan penyelesaiannya, Felda kena hapuskan hutang-hutang peneroka sehingga 2019.
“Perkara ini dipersetujui bersama oleh Felda dan peneroka, Felda telah merangka kaedah pemotongan ini dan berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri,” katanya di sini semalam.
Sulong Jamil berkata, apabila pemansuhan hutang itu berlaku, Felda hilang punca pendapatan dan mungkin tidak dapat membayar hutang dengan bank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta lain-lain.
“Kerajaan kemudian bersetuju untuk mengeluarkan sukuk bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan.
“Saya sendiri bersama Idris, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Presiden Kami Anak Felda (KAF) dan wakil dari pengurusan Felda berjumpa dengan Muhyiddin.
“Setelah diberikan penerangan mengenai sukuk ini, kami setuju” katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin juga berkali-kali bercakap, ia bukan percuma dan perlu dibayar balik.
SUKUK
“Sama ada kerajaan mementerai perjanjian dengan Felda bagaimana sukuk ini harus dibayar, itu kita tidak dimaklumkan dan sehingga akhir tahun 2022, ia masih ibarat menunggu buah yang tak gugur,” katanya.
Beliau berkata, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk pemerintahan negara, beliau telah menyemak perkara ini bersama Kementerian Kewangan.
“Pada hujung bulan Jun lalu, Perdana Menteri telah menandatangani jaminan kerajaan untuk merealisasikan perjanjian terdahulu yang mana kerajaan sekarang bersetuju membantu Felda sebanyak RM1 bilion setahun untuk membayar pokok pinjaman Felda melalui sukuk RM9.9 bilion.
“Apabila ini berlaku, Felda menarik nafas lega, Felda hanya perlu mendapatkan sumber pendapatan termasuk daripada Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) FGV.
“Dengan pendapatan ini, Felda boleh membayar gaji kakitangan, faedah bank, pendahuluan tanam semula peneroka, pendahuluan baja, sara hidup dan aktiviti lain membabitkan kebajikan peneroka,” katanya.
Beliau berkata, jika semuanya berjalan lancar, dalam masa lapan tahun, Felda akan pulih seperti biasa dan kembali ke landasan asal penubuhannya. – UTUSAN










