Guru gigit pelajar, KPM mohon beri ruang siasatan diperkemaskan

Guru gigit pelajar, KPM mohon beri ruang siasatan diperkemaskan

FADHLINA Sidek (belakang tengah) bersama para pemenang Majlis DUTA di Kuala Lumpur semalam.- UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon semua pihak menghormati dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh berhubung kes seorang pelajar digigit guru di sebuah sekolah di pantai timur baru-baru ini. 

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM peduli dan memberi jaminan akan menyiasat sebarang aduan melibatkan keganasan, buli dan sebagainya yang membabitkan pelajar-pelajar. 

“Jangan risau, saya beri jaminan akan menyiasat perkara ini. Itu yang mesti kita sampaikan kepada masyarakat dan kita kena beri ruang dan hormat proses siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa. 

“Saya sudah serahkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri juga untuk siasat. saya ulang sekali lagi, KPM tidak akan berkompromi terhadap keganasan, buli, kekerasan atau penindasan terhadap murid.

“Ia mesti mengikut saluran dan proses yang betul. Mesti ada aduan, mesti ada siasatan dan ketelusan,” katanya. 

Fadhlina juga berkata, berdasarkan siasatan dan jika insiden itu membuktikan elemen-elemen yang mengikut undang-undang, pihaknya akan membuat pengumuman. 

“Bagaimanapun, buat masa ini, biarlah pihak berkuasa jalankan kerja mereka. Tentang status guru tersebut, saya juga sudah serah pada pihak JPN untuk uruskan dengan pemantauan daripada Kementerian dari semasa ke semasa,”katanya. 

Fadhlina berkata demikian semasa ditemui di Majlis DUTA 2023 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan di sini, hari ini.

Terdahulu, baru-baru ini, tular dalam media sosial berhubung seorang ibu yang mendakwa bahawa anak lelakinya berusia enam tahun digigit seorang guru hingga menyebabkan emosi murid itu terganggu.

Dalam hantaran itu, ibu murid terbabit hairan selepas anaknya sering bertanya soal cuti sekolah dan tidak ceria seperti selalu.

Pada mulanya, ibu kanak-kanak itu beranggapan bahawa anaknya menjadi mangsa buli sehingga akhirnya terbongkar kisah bahawa anaknya digigit seorang guru lelaki hingga takut untuk ke sekolah.

Dakwanya, bukan anak lelakinya sahaja menjadi mangsa, tetapi beberapa murid lain apabila guru itu menggigit bahagian tidak sepatutnya iaitu mulut, tangan dan telinga.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu penyelenggaraan tandas sekolah, Fadhlina berkata, kementerian memberikan peruntukan kepada setiap sekolah di bawah KPM untuk segera menjalankan kerja-kerja membaik pulih. 

“Setiap sekolah di bawah KPM masing-masing diberikan peruntukan sebanyak RM70,000 dan segala urusan itu mula dilaksanakan.

“Kita cuma berikan tempoh tiga bulan sahaja kepada setiap sekolah untuk memastikan segala kerja-kerja pembaikan dilakukan sebaiknya dan kita mahu tengok hasilnya,” katanya. 

Sementara itu, sebanyak 43 anugerah disampaikan kepada pemenang-pemenang yang merangkumi empat kategori utama iaitu Anugerah Pusat Sumber Sekolah, Anugerah Pendidikan Digital, Ikon Guru Digital dan Ikon Murid Digital. 

Para pemenang menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil peringkat kebangsaan.

Majlis DUTA merupakan usaha KPM dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan yang tertinggi kepada murid, guru, sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri atas pemerkasaan penggunaan teknologi secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran selain melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya