Faiz Nasir, Azarul Nazarith sertai Kelantan United

Faiz Nasir, Azarul Nazarith sertai Kelantan United

REZAL Zambery (kiri) secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United. UTUSAN/IHSAN KELANTAN UNITED FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan United FC meneruskan usaha memperkuatkan pasukan itu bagi mengharungi baki saingan Liga Super selepas membawa masuk pemain sayap lincah secara pinjaman dari Terengganu FC Muhammad Faiz Mohd. Nasir.

Selain itu, Terengganu FC turut meminjamkan pemain pertahanan, Muhammad Azarul Nazarith Azhar dalam usaha memperkuatkan Kelantan United.

Pengarah Eksekutifnya, Wan Mohd. Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, kehadiran dua tonggak itu memperlihatkan kesungguhan Kelantan United dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super musim ini.

“Muhammad Faiz atau lebih dikenali sebagai ‘Messi’ mempunyai pengalaman bersama Kelab Bola Sepak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC), Felcra FC dan Selangor FC selain pernah bersama Harimau Malaya. Muhammad Azarul Nazarith juga ada pengalaman bersama Felda United FC sebelum menyertai Terengganu.

“Kita percaya pengalaman kedua-duanya dapat memberi impak kepada Kelantan United seterusnya meletakkan pasukan di kedudukan lebih baik di penghujung musim 2023 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Mohd. Zul Ikman memberitahu, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Terengganu FC kerana membenarkan kedua-dua pemain berkenaan untuk berkelana ke Kota Bharu sehingga ke penghujung musim ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd. Zul Ikman turut mengumumkan bekas jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United.

“Rezal Zambery akan memegang tanggungjawab memperbaiki dan meningkatkan program akar umbi dan pembangunan pemain muda Sang Kijang Hijau. Skop tugas beliau bukan hanya dari aspek teknikal malah merangkumi tanggungjawab lebih meluas.

“Beiau turut bertanggungjawab memantau dan melaksanakan keseluruhan program serta pembangunan bola sepak Kelantan United. Kita percaya beliau berupaya membawa perubahan dan mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya