KUALA LUMPUR: Fahaman sekular Laïcité atau pandangan menolak agama secara mutlak dalam pentadbiran negara tidak boleh diterima oleh rakyat dan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sebaliknya kerajaan menerima fahaman sekular yang tidak membuang sepenuhnya nilai-nilai agama.
“Kenapa kita perlu menerima Laïcité sedangkan nilai agama adalah penting.
“Malah, dalam hal membabitkan keadilan, ia disebut dalam khutbah Jumaat,” katanya dalam sesi soal jawab dalam Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini hari ini.
Turut berangkat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Terdahulu, Anwar diminta mengulas berhubung kenyataannya dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bahawa Kerajaan Perpaduan menolak sekular.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan sekiranya terma sekular ingin dipopularkan, maka ia perlu dipastikan bahawa terma berkenaan difahami dengan jelas oleh keseluruhan masyarakat di negara ini.
Katanya, majoriti masyarakat Islam mengambil fahaman sekular sebagai sesuatu yang menolak agama secara mutlak dalam pentadbiran.
“Bukan itu yang perlu difahami oleh masyarakat Islam, sebaliknya walaupun kerajaan mempunyai elemen sekular, namun nilai agama masih diterapkan.
“Sekiranya terma berkenaan tidak difahami dengan jelas, maka akan terputus sepenuhnya naratif dan wacana golongan bandar dan elit dengan sentimen serta pemahaman orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak mencampuri urusan Badan Kehakiman di samping terus mempertahankan kebebasan institusi tersebut sejak mengambil alih tugas Perdana Menteri.
Beliau kemudian menzahirkan pujian kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di atas peranan berani yang selama ini dalam mengukuhkan kepercayaan terhadap Badan Kehakiman.
“Dan dengan ini, saya terima kasih kepada pendirian teguhnya mengenai kebebasan kehakimannya dan menghadapi serangan tanpa henti daripada setiap peringkat dalam untuk mempertahankan kehakiman,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam majlis itu. -UTUSAN