Elon Musk pilih Cyberjaya jadi ibu pejabat

Elon Musk pilih Cyberjaya jadi ibu pejabat

ANWAR Ibrahim bersalaman bersama para jemaah ketika hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak di sini, hari ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Cyberjaya menjadi lokasi pilihan untuk Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk berpangkalan dan membina sebuah ibu pejabatnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjumpaan antara beliau dan jutawan tersebut membawa perkembangan yang baik buat negara.

Menurut beliau, perkembangan tersebut terutamanya adalah mengenai peningkatan kenderaan elektrik (EV) dalam Malaysia.

“Beliau bersetuju untuk beroperasi daripada Cyberjaya. Tentang Starlink, tentang internet akses (dan) ketersambungan itu kita (sudah)  bersetuju. 

“Ini akan memberikan ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah (dan) universiti untuk mendapat akses internet secara langsung yang murah.

“Walaupun 40 (satelit) disediakan awal, tetapi dia (Elon) boleh beri pengakuan untuk memberikan keutamaan kepada Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama Elon.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut menyertai persidangan video itu selama kira-kira 25 minit yang berlangsung pada pukul 9.30 pagi tadi di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tiga syarikat Malaysia terlibat dengan SpaceX di dalam projek tersebut.

“Jadi maknanya, persetujuan dia untuk melabur secara besar dan dia sudah memberi pengakuan untuk mengadakan kunjungan ke Malaysia dalam masa singkat.

“Kalau (kira) Starlink, SpaceX dan EV ini akan melibatkan puluhan ribu tenaga mahir,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN