MELAKA: Kerajaan berdepan cabaran untuk mencapai sasaran melahirkan tenaga kerja mahir sebanyak 35 peratus menjelang 2030, selepas hampir 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat menyambung pelajaran.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, ketika ini tenaga kerja mahir yang dihasilkan negara berada pada tahap 28 peratus.
Jelas beliau, sasaran itu penting untuk dicapai sekiranya Malaysia mahu menjadi negara maju.
“Unjuran 300,000 pelajar yang tidak mahu menyambung pelajaran sememangnya membimbangkan. Antara sasaran kita di peringkat kementerian adalah untuk melahirkan sebanyak 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030.
“Sekarang ini masih pada tahap 28 peratus. Ini agak membimbangkan apabila lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran. Kita bimbang tidak dapat mencapai tenaga mahir mencukupi untuk menjadi negara maju.
“Jadi kita mahu memiliki tenaga mahir yang mencukupi supaya dapat menggerakkan industri-industri yang ada di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan 2023 di sini, semalam.

Tambah Mustapha, pengaruh ekonomi gig terhadap remaja menjadi cabaran terbesar kepada kerajaan memandangkan anak-anak muda lebih berminat bekerja tanpa memikirkan kesan dalam jangka masa panjang.
“Kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, sekolah serta ibu bapa untuk memberi kesedaran kepada remaja. Mereka perlu memiliki sijil kemahiran, diploma atau ijazah kerana itulah yang kekal sampai bila-bila.
“Sebab itu kita promosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ambil kursus modular atau jangka pendek. Mereka boleh terus bekerja asalkan tidak terputus pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN










