KEMAMAN: Hasrat 10 sekeluarga untuk berkelah bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dua daripada mayat mangsa telah ditemukan sementara lapan lagi mangsa dipercayai masih hilang.
Menurutnya, kesemua mangsa terlibat berusia empat hingga 40 tahun dan mereka dikatakan memasuki kawasan tersebut untuk berkelah semalam.
Katanya, mayat pertama iaitu seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditemui kira-kira pukul 12.45 tengah hari manakala mayat kedua iaitu seorang lelaki berusia 20-an ditemukan kira-kira pukul 5 petang di lokasi berasingan.
“Kita percaya, hujan lebat sejak petang semalam sehingga awal pagi ini menyebabkan berlakunya fenomena kepala air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, petang ini.
Beliau memberitahu, polis juga menemukan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan motosikal jenis SYM yang tenggelam dalam lumpur kira-kira dua kilometer daripada mayat kedua ditemukan.
Hanyan berkata, identiti kedua-kedua mayat dan lapan lagi mangsa lain masih belum diperolehi.
Mayat kedua-kedua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.-UTUSAN