MUAR: Harapkan pegar, pegar makan padi. Perumpamaan itu sesuai ditujukan kepada seorang bapa yang menjadikan dua anak kandungnya sebagai mangsa seks sejak tujuh tahun lalu.
Namun, perbuatan terkutuk bapa tersebut terbongkar susulan laporan perubatan yang dikeluarkan sebuah hospital di sini mendapati salah seorang remaja berusia 12 dan 15 tahun itu sedang mengandung.
Susulan itu, lelaki berusia 53 tahun itu yang tinggal di Jeram, dekat sini kini ditahan polis semalam.
Difahamkan suspek mula merogol salah seorang mangsa sejak dia berusia sembilan tahun dan perbuatan terkutuk berkenaan kerap berlaku di rumah mereka ketika isterinya yang berusia 48 tahun sudah tidur.
Sepanjang tempoh berkenaan, dua beradik tersebut sering dijadikan hamba seks oleh bapa mereka yang bekerja di syarikat swasta.
Namun, kedua-dua mangsa yang merupakan anak keempat dan bongsu daripada lima beradik itu tidak berani menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa sehingga perbuatan itu terbongkar pada Isnin lalu selepas mangsa yang berusia 15 tahun mengadu sakit dada sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di hospital.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil pemeriksaan perubatan mendapati mangsa sebenarnya sedang hamil.
“Berikutan itu satu laporan polis dibuat dan suspek ditangkap semalam untuk siasatan lanjut.
“Suspek kini direman selama seminggu bermula semalam. Polis sedang merekodkan keterangan mangsa untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN