KUALA LUMPUR: Setiap insiden termasuk kenyataan provokasi mana-mana individu terus disalurkan ke bilik gerakan Op Room Cantas yang berpusat di Bukit Aman untuk diambil tindakan segera.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kontinjen polis di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri akan menyalurkan maklumat di lapangan serta visual dari rakaman dron secara real time atau masa sebenar.
Menurut beliau, Op Room Cantas akan bertindak sebagai tempat pengumpulan maklumat berkaitan provokasi yang cuba dicetuskan mana-mana pihak atau kenyataan menyentuh isu 3R (bangsa agama dan raja) .
“Bilik gerakan ini mempunyai rangkaian hubungan terus dengan enam kontinjen polis negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah,” kata beliau di Bukit Aman semalam.
Mengulas lanjut, kata beliau, polis sudah mengenal pasti beberapa kumpulan penyokong parti yang dianggap sebagai ‘kumpulan nakal’ dan dikhuatiri mencetuskan ketegangan sepanjang musim PRN ini.
Katanya, menerusi pasukan Op Cantas akan mengambil tindakan segera ke atas kumpulan-kumpulan nakal ini sekiranya didapati cuba mencetusan provokasi dan kekecohan.
“PDRM menerusi sebanyak 82 pasukan Op Cantas Bukit Aman akan turut bergerak di lapangan termasuk memantau program ceramah oleh calon.
“Op Cantas di Kelantan sudah dimulakan sejak pertengahan Mei lalu, manakala Op Cantas di lima negeri dimulakan sejak 29 Jun lalu,” kata beliau.- UTUSAN










