SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dijangka menampilkan kira-kira 50 peratus muka baharu sebagai calon bagi mempertahankan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ketika ini di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua calon BN untuk setiap kerusi berkenaan telah menerima pemakluman berkaitan perkara tersebut tengah hari tadi.
Pemakluman itu sebelum majlis pengumuman calon BN untuk PRN diadakan pada esok malam di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.
Difahamkan juga, BN turut menampilkan calon di kerusi DUN Lenggeng yang kini menjadi pertikaian sama ada ditandingi oleh BN ataupun Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh calon dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, BN menang sebanyak 16 kerusi daripada 36 buah kerusi di Negeri Sembilan manakala 20 buah kerusi dimenangi oleh PH yang sekali gus membentuk kerajaan negeri.-UTUSAN.