Bekas kerani wanita bebas tuduhan edar, miliki pelbagai jenis

Bekas kerani wanita bebas tuduhan edar, miliki pelbagai jenis dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas kerani wanita daripada satu pertuduhan mengedar dadah dan enam pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah seberat 576.9 gram di dua buah kondominium di Sentul, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membebaskan Siti Aisah Noordin, 35, tanpa memanggilnya membela diri terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan yang dikenakan.

Ketika menyampaikan keputusannya, beliau berpendapat, wujud kelompongan pada kes pendakwaan ekoran kegagalan memanggil suami wanita itu sebagai saksi walaupun dia ditangkap bersama-sama tertuduh ketika serbuan pihak polis.

Sehubungan itu, Hakim Azhar membebaskan Siti Aisah daripada kesemua pertuduhan selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sejurus mahkamah selesai bersidang, Siti Aisah yang berbaju hitam dibenarkan keluar dari kandang tertuduh untuk dibebaskan serta merta.

Bagi ketujuh-tujuh pertuduhan, Siti Aisah didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 9.30 malam dan 10 malam, 20 April 2020 di unit kondominium di Jalan Ipoh, Batu 5, Taman Mastiara di sini.

Wanita tersebut didakwa mengedar 59.98 gram dadah jenis 3.4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Siti Aisah turut didakwa atas lima pertuduhan memiliki 16.86 gram Methamphetamine, 3.59 gram Ketamine, 0.76 gram MDMA, 403.63 gram Ketamine dan 1.10 gram Nimetazepam.

Bagi kelima-lima pertuduhan, wanita itu didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan maksimum sebanyak sembilan kali.

Siti Aisah turut didakwa memiliki 90.98 gram Clozapine mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene hadir mewakili pihak pendakwaan manakala Siti Aisah diwakili peguam Maanveer S. Dhillon.

Seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN