ATM giatkan 'roadshow' tarik penyertaan bukan bumiputera - Utusan Malaysia

ATM giatkan ‘roadshow’ tarik penyertaan bukan bumiputera

MOHAMAD Hasan (baris belakang, empat dari kiri) bergambar bersama pencarum Skim Pekerjaan Sendiri dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso semepan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau, di Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan giat mengadakan jerayawara (roadshow) bagi membuka peluang dan menarik golongan bukan bumiputera untuk menyertai pasukan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, roadshow itu akan diketuai oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan ia akan diuar-uarkan kepada orang ramai.

Jelas beliau, sambutan bagi roadshow berkenaan sebelum ini kurang memuaskan dan pihaknya tidak mengetahui sebab utama yang menghalang kepada penyertaan golongan bumiputera ke dalam pasukan ATM.

“Kalau mahu kata tiada peluang untuk mereka (bukan bumiputera) lanjutkan pelajaran, ATM ada banyak skim yang mana pegawainya boleh melanjutkan pelajaran, pegawai tentera, master (sarjana) sudah biasa, ada yang dah ada PhD (doktor falsafah).

“Sekurang-kurangnya mereka mahu naik pangkat, mereka mesti ada diploma dan ijazah dalam bidang masing-masing. Kami ada beberapa institusi (tujuan pelajaran) seperti Pusat Pengajian Pertahanan Negara.

“Bukan sahaja anggota tentera di Malaysia tetapi dalam 30, 40 buah negara turut menghantar pegawai masing-masing untuk belajar di peringkat sarjana di Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan sijil perlindungan Skim Pekerjaan Sendiri dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pencarumnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN