Anwar jamin siasatan rapi dakwaan isu rasuah Jabatan Imigresen

Anwar jamin siasatan rapi dakwaan isu rasuah Jabatan Imigresen

ANWAR Ibrahim membuat lawatan mengejut ke KLIA, Sepang semalam bagi meninjau operasi Jabatan Imigresen Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat terhadap isu membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang khususnya dakwaan wujud salah laku dan amalan rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan awal berkaitan beberapa isu dibangkitkan beberapa hari lalu akan dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.

Bagaimanapun, katanya, penugasan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk utama negara berjalan dengan baik dan agensi itu juga memberi respon sangat baik dan positif, terutama terkait perkara berbangkit sejak beberapa hari lalu.

“Saya ingin bagi jaminan siasatan rapi akan dibuat. Tapi, umumnya majoriti petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan sewajarnya.

“Saya cuba teliti langkah diambil setakat ini dan saya lihat Imigresen buat respon yang sangat baik dan positif. Yang harus kita kenal pasti adalah kelompok kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan. Siasatan rapi akan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di KLIA hari ini.  

Beliau tengahari tadi berada di KLIA bagi menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.

Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua dan delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang pada pukul 1.10 tengah hari.

Beberapa hari lalu, tular gambar dan laporan berita yang mendakwa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan seorang pelancong dari China.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bintulu itu menafikannya malah mendakwa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas di pintu masuk utama negara itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN