Annuar dakwa Tun Mahathir, Muhyiddin nafi mahu haramkan UMNO - Utusan Malaysia

Annuar dakwa Tun Mahathir, Muhyiddin nafi mahu haramkan UMNO

ANNUAR Musa sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kuala Pilah dan Ceramah Perdana di Kuala Pilah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin manafikan pernah merancang untuk mengharamkan UMNO seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh yang ketika ini sudah menyertai Pas itu menjelaskan, perkara itu diberitahu sendiri oleh Dr. Mahathir kepada beliau ketika pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri itu.

Annuar turut memberitahu, perkara yang sama turut dimaklumkan oleh Muhyiddin yang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan Menteri Dalam Negeri.

“Saya tidak tahu nak kata siapa berkata benar atau siapa yang berbohong, sebab nama-nama yang disebut, satu Anwar Ibrahim, dua Mahathir Mohamad dan ketiga Muhyiddin Yassin, mujur ketiga-tiga masih hidup.

“Saya pergi ke pejabat Dr. Mahathir, sebab saya mahu tahu sebab saya pada ketika itu Setiausaha Agung UMNO, kalau orang nak haramkan UMNO tentu Setiausaha Agung UMNO tahu, ada surat ke, ada amaran ke tetapi saya sebagai Setiausaha Agung UMNO tidak pernah mendengar kerajaan ada mahu mengharamkan UMNO, maka saya kena tanya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kuala Pilah dan Ceramah Perdana di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Annuar menambah, ketika pertemuan tersebut, Dr. Mahathir memaklumkan tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Anwar berkaitan urusan kerajaan kerana Presiden PKR tersebut berada di luar kerajaan malah bukan seorang Ahli Parlimen pada ketika itu.

Kata beliau, sehubungan itu, Dr. Mahathir menjelaskan, tidak mungkin Anwar tahu mengenai sebarang rancangan kerajaan termasuk kononnya perkara untuk mengharamkan UMNO sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“Itu jawapan Dr. Mahathir, tidak tahu betul atau salah dan Dr. Mahathir menafikan,” katanya lagi.

Kata Annuar lagi, beliau sekali lagi bertanyakan perkara yang sama kepada Muhyiddin petang semalam.

Katanya, Pengerusi PN itu memberitahu, sebarang perancangan untuk mengharamkan UMNO mestilah mempunyai laporan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang kemudian dibawa kepada Menteri Dalam Negeri.

Tegas beliau, Muhyiddin memberitahu ROS tidak pernah membawa perkara itu serta tidak pernah dibangkitkan soal mahu mengharamkan UMNO.

“Sekarang saya kembalikan kepada tuan-tuan dan juga kepada PM (Perdana Menteri), saya tidak tahu siapa berbohong dan siapa yang berkata benar.

“Jawapan Tan Sri Muhyiddin, jawapan Dr. Mahathir dan pengalaman yang saya lalui sebagai Setiausaha Agung (UMNO), perkara itu (mengharamkan UMNO) tidak pernah berbangkit,” katanya lagi.

Kelmarin, Anwar sewaktu berucap pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak, Jerai, Kedah mendakwa Dr. Mahathir dan Muhyiddin merancang untuk mengharamkan UMNO ketika berkuasa selepas PRU14.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN