SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) kekal bertanding di tiga buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, tiga kerusi DUN itu adalah Klawang, Lenggeng dan Paroi.
Jelas beliau, perkara itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah yang terkini yang mengambil kira faktor ‘incumbent’ (penyandang jawatan) selepas parti itu memenangi ketiga-tiga kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Tambahnya, sehubungan itu, Amanah Negeri Sembilan turut menafikan berlaku perbincangan dan keputusan mengenai penyerahan DUN Lenggeng bagi ditandingi pula oleh Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti seperti mana yang tular di dalam media sosial.
“Secara keseluruhan, Amanah Negeri Sembilan telah berjaya menjadi rakan politik terbaik dalam memastikan agenda kerajaan PH Negeri Sembilan berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Amanah Negeri Sembilan ingin menegaskan bahawa tidak ada sebarang perbincangan dan keputusan mengenai penyerahan DUN Lenggeng kepada BN seperti mana yang tular dalam media sosial baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia hari ini turut melaporkan kerusi DUN Lenggeng yang sebelum ini dimenangi PH difahamkan akan ditandingi calon BN pada PRN akan datang.
Menurut sumber, ia sekali gus menyaksikan BN memperoleh satu kerusi tambahan untuk ditandingi daripada 16 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Sementara itu, MK Ibrahim memberitahu, bagi persiapan menuju PRN, Amanah Negeri Sembilan telah memulakan langkah awal dengan melancarkan jentera pilihan raya bagi ketiga-tiga DUN yang akan ditandingi.
“Sehubungan itu, Amanah Negeri Sembilan akan mengemukakan calon bagi tiga DUN tersebut dalam masa terdekat dengan menampilkan calon-calon yang berkelayakan, berintegriti, dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.-UTUSAN.