Akta Perlindungan Data Peribadi dipinda - Utusan Malaysia

Akta Perlindungan Data Peribadi dipinda

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Profesor Dr. Mohd. Nazri Kama
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meningkatkan kadar denda yang boleh dikenakan kepada pihak yang membocorkan data peribadi adalah antara aspek yang sedang dinilai dalam rangka untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Denda  tinggi dilihat dapat menjamin organisasi mengambil tanggungjawab dan lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi rakyat Malaysia bagi membendung insiden-insiden ketirisan dan penyalahgunaan data peribadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Profesor Dr. Mohd. Nazri Kama berkata, cadangan pindaan Akta 709  dirangka sejak pertengahan 2022 dan sedang diteliti semula setelah mengambil kira perkembangan dan keperluan semasa.

Menurut beliau, cadangan pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini atau selewatnya awal tahun depan.

“Akta 709 yang dikuatkuasakan pada 15 November 2013 adalah untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial oleh organisasi yang menyimpan data peribadi.

AKTA

“Selepas hampir 10 tahun pewartaannya, kita dapati terdapat keperluan untuk menambah baik akta ini agar lebih efektif dan setanding dengan piawaian serta amalan terbaik perlindungan data peribadi di peringkat antarabangsa,” katanya di sini.

Mengulas  trend penyalahgunaan data peribadi, Mohd. Nazri berkata, pihaknya mengambil serius insiden-insiden ketirisan data peribadi yang melibatkan transaksi komersial.

Beliau berkata, trend ini menunjukkan peningkatan secara ketara dan konsisten bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

“Pelbagai kaedah digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan data peribadi antaranya melalui serangan siber, penggodaman, phishing dan exploitasi kelemahan kawalan keselamatan sistem komputer,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi menangani kes penjualan data peribadi, kepakaran dalam bidang penyiasatan teknikal khususnya, seperti forensik digital dan perisikan ancaman siber diperlukan dalam mengenal pasti punca ketirisan data sehingga menyebabkan kecurian, serta mengesan penjenayah yang melakukan serangan siber sebelum tindakan undang-undang sewajarnya diambil.

DATA PERIBADI

Sementara itu, kata Mohd. Nazri, sebanyak 2,636 aduan berkenaan data peribadi diterima sejak 2016 sehingga 30 Jun 2023 melalui Sistem Perlindungan Data Peribadi JPDP.

Katanya, JPDP telah memperkenalkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN) bagi memastikan organisasi membuat laporan berhubung insiden ketirisan data yang berlaku dalam tempoh 72 jam.

“Buat masa ini, organisasi adalah tidak diwajibkan untuk melaporkan insiden ketirisan data peribadi kepada JPDP. Namun, perkara ini telah disenaraikan sebagai salah satu cadangan pindaan ke atas Akta 709 yang akan mewajibkan organisasi untuk melaporkan insiden ketirisan data peribadi yang berlaku kepada pihak kita.

“Tindakan kompaun juga telah dikenakan ke atas organisasi antaranya syarikat penerbangan dan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang didapati melanggar Prinsip Keselamatan di bawah Akta 709. Ini kerana mereka tidak mengambil langkah praktikal bagi melindungi data peribadi daripada dicapai atau di zahir tanpa kebenaran.

“Di bawah seksyen 48 dan seksyen 101 Akta Perlindungan Data Peribadi [Akta 709], pemeriksaan dapat dilaksanakan ke atas sistem data peribadi pengguna data sama ada secara manual atau digital,” jelasnya.

Kata beliau, hasilnya, melalui penekanan pematuhan pengguna data kepada Akta 709 terutamanya prinsip-prinsip perlindungan data peribadi, syarikat dan organisasi didapati telah dapat menambah baik aliran dan proses kerja serta amalan kerja seharian masing-masing yang membabitkan pemprosesan data peribadi.

“Pemeriksaan di bawah akta ini dapat mengurangkan risiko untuk pengguna data terlibat dengan kes kebocoran data peribadi,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Utusan Malaysia mendedahkan, lebih 223 juta data peribadi rakyat Malaysia berisiko jadi mangsa penipuan dengan adanya sistem pangkalan data yang ‘dikawal’ dan ‘dibangunkan’ oleh penggodam untuk ‘dilelong’ kepada sindiket.

Ia dipercayai dibangunkan oleh penggodam yang terdiri daripada pakar-pakar teknologi maklumat (IT) berpangkalan di negara ini yang ingin mengaut keuntungan dengan mudah tanpa sebarang jejak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN