MEKAH: Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan masalah khemah sempit di Mina diatasi dan diberi keutamaan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, titah itu disampaikan kepada beliau oleh Seri Paduka pagi semalam mengenai kesukaran yang dihadapi jemaah ketika berada di tempat itu.
Justeru, katanya, Tabung Haji (TH) akan mengadakan perbincangan bagi mendapatkan pandangan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji supaya situasi tersebut dapat ditangani dan cadangan daripadanya kelak akan dibawa ke Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan sebelum dimuktamadkan.
“Seperti yang kita tahu, kawasan di Mina itu tidak boleh diperluaskan dan sudah ditentukan oleh hukum. Jadi, sebanyak mana jemaah yang ada akan ditempatkan di situ hingga mengakibatkan kawasan khemah menjadi sesak dan sempit.
“Jadi, untuk langkah penyelesaian saya fikir mungkin perlu ada perbincangan untuk mendapatkan ijtihad baharu supaya kita boleh melakukan sesuatu bagi menangani masalah tersebut,” katanya pada sidang akhbar penutup operasi haji musim 1444H di sini semalam.
Menurut Mohd. Na’im, antara cadangan yang akan diperhalusi termasuk membenarkan jemaah tinggal di luar Mina dan berulang alik untuk bermalam kemudiannya. Ia juga dilakukan oleh jemaah dari negara lain.
Tambahnya, sempadan Mina tidak berubah kerana ditetapkan oleh hukum sejak dahulu lagi tetapi penambahan jemaah berlaku setiap tahun. – UTUSAN