AGC, UMNO bantah permohonan tiga ahli BN

AGC, UMNO bantah permohonan tiga ahli BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) dan UMNO membantah kebenaran semakan kehakiman yang dipohon oleh tiga ahli Barisan Nasional (BN) bagi mencabar usul tambahan yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan tertinggi parti itu.

Permohonan itu difailkan oleh dua ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P. Vellasamy.

Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili UMNO berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ketiga-tiganya tiada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan kebenaran semakan kehakiman itu.

Beliau berhujah, ini kerana dua daripada pemohon bukan lagi ahli UMNO manakala seorang lagi yang merupakan ahli MIC, tiada kaitan dengan hal dalaman parti.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanif Hambaly turut berhujah, hak ketiga-tiganya tidak terkesan apabila Menteri Dalam Negeri meluluskan usul tambahan UMNO agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Ketika membangkitkan bantahan awal berhubung bidang kuasa pemohon, beliau berhujah, selaku bekas ahli UMNO dan ahli MIC, mereka tiada kena mengena dengan keputusan pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Amarjeet Singh mencelah dengan menyatakan, pemohon perlu mempunyai locus standi dan hubung kait dengan isu yang dipertikaikan dalam semakan kehakiman.

Ahmad Hanir selanjutnya berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Kerajaan Malaysia tidak sepatutnya dinamakan sebagai pihak dalam tindakan undang-undang itu.

Hujah beliau, jabatan itu bukan satu entiti undang-undang yang sah manakala Kerajaan Malaysia tidak sesuai dinamakan sebagai responden dalam semakan kehakiman.

Sementara itu, peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff yang mewakili ketiga-tiga pemohon berhujah, anak guamnya bukan menyaman UMNO, sebaliknya mempertikai keputusan administratif yang diambil oleh RoS.

Hakim Amerjeet kemudian menetapkan keputusan bantahan awal itu pada 30 Ogos ini.

Mahkamah kemudian membenarkan pindaan terhadap notis permohonan semakan kehakiman dengan menggugurkan Kerajaan Malaysia dan jabatan itu dan menggantikannya dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Pada 15 Mei lalu, ketiga-tiganya merupakan ahli BN memfailkan kebenaran semakin kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri meluluskan usul tambahan UMNO yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu.

Ketika memfailkan permohonan itu, mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Kerajaan Malaysia; jabatan berkenaan dan UMNO selaku responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu yang mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu adalah tidak teratur, bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.

Turut dipohon, ialah satu perisytiharan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO hendaklah dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Pemohon berkata pada 13 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO dicadangkan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu, berhubung ketiadaan pertandingan untuk dua jawatan utama pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Mereka berkata, pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Kata mereka, dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia adalah tidak sah.

Menurut pemohon, sewajarnya RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.

“Pada 7 Mac lalu, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan bahawa kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya