KUANTAN: Pemergian sekali gus sembilan sekeluarga akibat kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Sabtu lalu adalah tragedi terbesar pernah berlaku membabitkan penduduk yang tinggal di Felda Lepar Hilir 3 di sini.
Ketua Peneroka Felda Lepar Hilir 3, Rosli Samad, 60, berkata, sebelum ini tragedi paling besar membabitkan empat sekeluarga meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira 15 tahun lalu.
“Kali ini, sembilan beranak sekali gus dan memang sedih serta tak sangka berlaku kejadian macam ini di sini.
“Ingatkan 15 tahun lalu itu sudah besar apabila empat sekeluarga meninggal dunia sekali gus, kali ini sembilan orang, lagi ramai dan paling besar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Setakat petang semalam, lapan mayat ditemukan dengan mayat kelapan iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan kira-kira pukul 3 petang di kawasan beting jeram terbabit.
Dua mangsa yang belum ditemukan ialah Putri Nor Fatin, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.
Kelmarin, tujuh jenazah tragedi tersebut dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, di sini sekitar pukul 11.50 malam.
Jenazah dikebumikan ialah Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.
Rosli dalam pada itu berkata, pihaknya sudah pun menyediakan tapak di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 di sini untuk dua lagi ahli keluarga terbabit yang turut terlibat dalam kejadian tersebut.
“Seorang sudah pun dijumpai petang semalam. Jika seorang lagi mangsa ditemukan, kedua-duanya akan dikebumikan dalam satu liang lahad dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










