80.5 peratus kanak-kanak bawah 5 tahun di Pahang ada masalah karies gigi - Utusan Malaysia

80.5 peratus kanak-kanak bawah 5 tahun di Pahang ada masalah karies gigi

NOR AZIMI Yunus, (dua dari kiri) melihat pasukan pergigian bergerak yang disediakan bagi tujuan pemeriksaan pergigian secara percuma sempena Program Promosi Kesihatan Peringkat Pahang di Tasek KotaSAS di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dianggarkan kira-kira 80.5 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun di negeri ini mengalami masalah karies gigi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, perkara itu antara masalah utama kesihatan gigi dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Menurutnya, peratusan terbabit diperoleh menerusi tinjauan yang dilakukan Kesihatan Mulut Kebangsaan bagi Kanak-kanak Prasekolah pada Tahun 2015.

“Pahang menduduki tempat kelima tertinggi masalah karies gigi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini sekali gus menjadikan ia masalah utama kesihatan gigi di negeri ini.

“Begitu juga bagi murid berusia 12 tahun ke bawah, sebanyak 40.1 peratus yang direkodkan pada 2017 juga merupakan yang lima tertinggi di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang di Atrium, Tasek KotaSAS di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Azmi berkata, berdasarkan kajian, pihaknya berjaya merekodkan satu dari empat individu bersamaan 25 peratus rakyat negeri ini tidak pernah menjalani pemeriksaan gigi seumur hidup.

“Pada 2022, kadar penggunaan fasiliti pergigian di Pahang adalah 24.6 peratus sahaja, sedangkan klinik pergigian banyak di setiap daerah.

“Pahang mempunyai 73 buah fasiliti Kesihatan Pergigian Primer yang menyediakan rawatan asas pergigian, dengan 64 buah Klinik Pergigian dibuka setiap hari manakala sembilan buah lagi perkhidmatan diberikan secara lawatan.

“Selain itu, terdapat juga tiga buah Klinik Pergigian Bergerak yang terletak di Daerah Kuantan, Maran dan Lipis yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat melalui Program Kesihatan Pergigian Jangkau Luar,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya