PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah selesai mengambil keterangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataan beliau didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merakam percakapan Menteri Besar itu di sebuah hotel di Bangsar, awal pagi tadi.
Menurut beliau, pihak polis turut selesai merakam percakapan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hari ini di Pulau Pinang.
“Kita juga telah mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 3.30 petang, semalam di pejabatnya di Jalan Raja Laut.
“Kertas siasatan ketiga-tiga ahli politik itu sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Sanusi berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.
Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi dimuat naik pada 8 Julai lalu turut diulas serta diterbitkan oleh portal berita New Straits Times.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Komunikasi dan Multimedia 1998,”
Selain itu, Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya turut menyiasat kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.- UTUSAN










