KOTA TINGGI: Seramai 3,614 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai edisi kedua L’Etape Malaysia oleh Tour De France yang dianjurkan di negara ini dengan Desaru menjadi lokasi perlumbaan itu.
Penyertaan dalam kalangan pelumba amatur terbesar itu melibatkan dua jarak kayuhan iaitu 140 kilometer (km) dan 60km.
L’Etape Malaysia menjadi acara ikonik buat pencinta acara berbasikal kerana mereka dicabar untuk berkayuh seperti seorang pelumba profesional.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi kedua-dua jarak berkenaan iaitu lelaki dan wanita individu, lelaki dan wanita berpasukan dan cabaran pecutan lelaki dan wanita.
Kesemua laluan mendapat kelulusan pakar-pakar Tour de France dirancang khusus mengikut kesesuaian kumpulan penunggang baharu mahupun berpengalaman selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sebanyak 47 negara yang terdiri dari 1,337 peserta antarabangsa yang menyertai perlumbaan kali ini antaranya Sepanyol, Portugal, Perancis, Kanada, Singapura, China, Brazil, Mexico, Amerika Syarikat, Holland, Thailand, Indonesia dan Australia.
Manakala seramai 1,879 pelumba tempatan menyertai kejohanan edisi kedua ini dengan 398 peserta adalah pelumba dari Johor.
Bekas Menteri Kesihatan Khairi Jamaludin turut mengambil bahagian dalam perlumbaan itu bagi kategori 60 km.
Pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah. -UTUSAN