MEKAH: Operasi haji bagi musim 1444H/2023 telah pun melabuhkan tirai secara rasminya semalam dengan kesemua 31,600 jemaah haji selamat melakukan rukun dan wajib haji tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Namun, empat jemaah disahkan meninggal dunia sebelum dan selepas wukuf.
Bagi Tabung Haji (TH), cabaran mengendalikan operasi Tanah Suci berbeza walaupun telah 60 tahun diberikan tanggungjawab selaku agensi yang menguruskan perjalanan muassasah jemaah Malaysia ke Mekah dan Madinah.
Antara cabaran atau isu yang dihadapi termasuk cuaca panas sehingga mencecah 46 darjah Celsius, penipuan badal haji, visa furada, khemah sempit, pemilihan giliran, bantuan kewangan haji dan operasi Masyair.
Namun, cabaran sebenar yang dihadapi TH ialah operasi Masyair iaitu pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan selamat.
Jemaah yang tidak sabar dan cepat melenting, pasti akan ‘gagal’ dengan ujian di sini kerana ia sememangnya medan untuk menguji sejauh mana keutuhan sifat mahmudah yang dimiliki oleh mereka.
Bukan mudah untuk mengendalikan 1,001 perangai manusia apatah lagi ia melibatkan ibadat teragung umat Islam itu yang memerlukan mereka bermusafir meninggalkan keluarga dan kampung halaman dalam tempoh lama.
Pihak pengurusan TH sering kali mengingatkan jemaah terutamanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci supaya bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal untuk berdepan dengan Masyair.
Mungkin ketika itu Masyair tiada di depan mata dan hanya mengangguk tanda faham apabila diberi taklimat. Namun segalanya berubah apabila diri sudah berada di ketiga-tiga tempat itu.
Cabaran di Arafah ialah cuaca panas yang mencecah 46 darjah Celsius. Bermalam di Muzdalifah tanpa khemah pula menguji mental dan TH perlu bertindak pantas memindahkan mereka ke Mina sebelum matahari naik.
Sebaik sahaja tiba di Mina, isu khemah sempit pula yang menjadi perhatian oleh segelintir pihak sehingga ia didebatkan di media sosial dan portal berita.
Jika kita berjalan kaki dari sempadan Mekah-Mina, kita akan dapati begitu ramai jemaah dari negara lain yang tidur bergelimpangan di tepi jalan dengan hanya beralaskan kain dan tikar.
Apa yang dihajatkan ialah memenuhi tempoh selama empat jam 38 minit bagi melayakkan mereka dikira bermalam seterusnya melakukan ibadat melontar di tiga jamarat sebaik masuknya solat subuh.
Ya, ia memang sukar apatah lagi dilakukan sepanjang hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ada negara yang menetapkan jemaahnya tidak tinggal di Mina sebaliknya berulang-alik dari Mekah.
Namun, ia menuntut sikap sabar dan ketahanan diri yang tinggi. Bukan senang seperti yang diperkatakan dan oleh kerana itulah, khemah perlu dipasang bagi memudahkan jemaah berada di kawasan Mina.
Keluasan Mina yang amat terhad tidak mampu menampung pertambahan jemaah yang meningkat pada setiap tahun. Natijahnya, khemah yang ada perlu digunakan secara optimum dan berlakulah apa yang kita lihat seperti ditularkan di media sosial.
Jika diamati, isu itu sengaja dijadikan modal untuk merencatkan kerancakan perjalanan haji kerana ia masalah yang berlaku saban tahun.
Seperti yang dijelaskan Ketua Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, penyediaan khemah di Mina adalah di luar bidang kuasa mereka kerana ia didirikan oleh kerajaan Arab Saudi selain sempadan kawasan berkenaan yang ditetapkan hukum dan tidak berubah sejak dahulu.
“Ia bukan masalah baharu tetapi dihadapi sejak sekian lama. Situasi di Mina telah dimaklumkan semasa kursus di tanah air dan taklimat Masyair di maktab yang menekankan tidak boleh tidur secara terlentang disebabkan ruang sempit,” katanya. – UTUSAN