PUTRAJAYA: Sejumlah 204,452 graduan institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat belajar berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 6 Julai lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 148,598 mendapat pekerjaan sektor swasta dan 28,642 pula memasuki sektor kerajaan serta 16,856 orang menjadi usahawan selain 10,356 bekerja dengan keluarga.
Bagaimanapun, daripada jumlah keseluruhan 295,962 graduan pada tahun berkenaan, seramai 29,099 golongan itu belum bekerja.
Graduan tidak bekerja itu paling ramai adalah daripada graduan IPTS iaitu meliputi 13,960 orang, diikuti graduan universiti awam (9,659 orang) dan graduan kategori IPT dari Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seramai 4,686 orang.
Mengikut bidang pengajian pula, bilangan belum bekerja itu adalah paling tinggi dalam kalangan graduan perniagaan, pentadbiran dan perundangan iaitu seramai 9,175 orang; diikuti 5,708 daripada bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan; 3,258 graduan daripada bidang sastera dan kemanusiaan serta 2,122 graduan bidang perkhidmatan.
Seramai 1,782 gaduan bidang pendidikan belum bekerja, selain 1,757 (kesihatan dan kebajikan); 1,690 (sains sosial, kewartawanan dan maklumat) dan 1,335 (sains semulajadi, matematik dan statistik).
Antara sebab belum bekerja yang dikenal pasti ialah 68 peratus daripadanya sedang mencari pekerjaan manakala 10.5 peratus masih memilih untuk berehat, melancong atau bercuti selain 8.2 peratus sedang menunggu keputusan atau tawaran melanjutkan pengajian.
Alasan-alasan lain yang turut diberikan graduan belum bekerja ialah tanggungjawab kepada keluarga (5.1 peratus); memilih untuk tidak bekerja (2.1 peratus); sebab kesihatan termasuk baru bersalin (2.0 peratus) serta kurang keyakinan diri untuk memasuki alam pekerjaan (1.6 peratus).
Selain itu, kajian berkenaan turut mendedahkan seramai 49,095 graduan memilih melanjutkan pengajian manakala 4,612 graduan meningkatkan kemahiran serta 8,704 orang sedang menunggu penempatan pekerjaan.
Mengulas mengenai kajian itu kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, secara umumnya, pengangguran dalam kalangan graduan sangat tertumpu kepada kelembapan ekonomi disebabkan inflasi dan ketiadaan sektor industri baharu untuk mencipta pekerjaan baharu.
Ini termasuk jenis pekerjaan yang dilihat ‘beku’ kesan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI).
Justeru, kata beliau, pihak berkepentingan perlu ada gerakan untuk memikirkan bagaimana bidang-bidang ilmu sedia ada dikaitkan dengan kemajuan teknologi untuk membolehkan ia bersaing di pasaran.
“Sebagai contoh, bidang undang-undang yang dijalin gabung dengan kemahiran teknologi yang memudahkan urusan mengurus dan menyelesaikan kes,” katanya.
Menyokong pendapat sama, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, sistem pendidikan di universiti perlu belajar mencipta kerja dalam bidang yang mereka ceburi.
Beliau berkata, sebagai contoh dalam bidang ekologi dan kepelbagaian biologi, mereka boleh terlibat sebagai pemandu pelancong dan boleh mula bekerja sukarela semasa di kampus dan seterusnya menjadikannya sebagai usahawan.
“Selain itu, pihak universiti boleh memberikan perkhidmatan kepada pelajar berkaitan kerja teknikal seperti bidang kejuruteraan dan seni bina. Sebab itu dalam melaksanakan kurikulum boleh memberikan panduan pelajar mencipta kerjaya.
“Kaedah pengajaran di universiti perlu mengaitkan dengan usahawan, sama ada kreativiti dan inovasi pensyarah sendiri atau melalui pendedahan serta penglibatan dengan usahawan atau semasa latihan Industri,” katanya.
Kata beliau, hal ini sejajar dengan matlamat kerajaan dalam menjadikan masyarakat Madani universiti melahirkan graduan yang berilmu dan mempunyai daya kreatif dan reka cipta. – UTUSAN










