Zahid jamin MIC, MCA akan diberikan kerusi pada PRN

Zahid jamin MIC, MCA akan diberikan kerusi pada PRN

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Portal TVET Madani dan Pertukaran Memorandum Kerjasama Antara Kerajaan Dengan GLC Dan Syarikat Swasta di The Everly Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan MCA dan MIC akan diberikan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Malah Timbalan Perdana Menteri itu berkata, parti komponen berkenaan akan diberikan kerusi yang boleh dimenangi dalam PRN.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut memaklumkan pengagihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah hampir di penghujung untuk dimuktamadkan.

“Kita hampir di penghujung untuk memuktamadkan pengagihan kerusi dalam kalangan BN dan PH. Saya (juga) ingin maklumkan MCA dan MIC juga ada tempat dan ada kerusi kita berikan kepada mereka untuk bertanding.

“Saya harap jika ada sebarang desas desus mengatakan ada peminggiran dalam kalangan komponen BN, saya harap ia dipadamkan.

“Jadi, saya ingin memberikan jaminan ini kepada rakan-rakan parti dalam komponen BN, manakala rakan-rakan dalam komponen PH, itu kita sudah serahkan kepada Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan presiden parti masing-masing untuk menentukannya.

“Rundingan sudah dibuat beberapa kali antara BN dan PH, bukan antara parti-parti yang bergabung, tentunya ini memperlihatkan tahap kesuksesan yang tinggi antara BN dan PH,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi sidang media selepas melancarkan Portal TVET Madani dan turut menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menafikan laporan yang menyebut bahawa parti itu akan diperuntukkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada PRN Selangor yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Saravanan berkata, laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa parti itu tidak akan diberikan kerusi pada PRN Selangor adalah tidak tepat.

Ditanya mengenai kerusi yang akan diberikan kepada parti komponen berkenaan, Ahmad Zahid berkata, ia akan merangkumi di keseluruhan enam negeri yang akan mengadakan PRN.

“Kita pasti mengambil kira bahawa setiap parti itu akan diberikan tempat untuk bertanding dan tempat bersesuaian dan boleh menang itu tinggi kepada mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai tarikh untuk memuktadkan perbincangan mengenai pengagihan kerusi di antara BN dan PH, beliau memaklumkan perkara tersebut bergantung kepada kesesuaian masa Perdana Menteri.

“Bergantung kepada tarikh Perdana Menteri, saya fikir tidak terlalu lama, bila saja waktu sesuai untuk kami muktamadkannya, saya yakin kita akan memuktamadkan pada tarikh ditentukan Perdana Menteri,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya