KAJANG: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjadikan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak perempuannya yang memperoleh 9A sebagai jaminan kepada ibu bapa untuk meyakini sistem pembelajaran sekolah kerajaan.
Melahirkan lega apabila anaknya, Thurayya Fadhilah Mohd. Fadzli yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperoleh keputusan cemerlang, Fadhlina berkata, ia adalah sebahagian daripada kenangan manis pada tahun ini.
“Saya ingin memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak bersekolah di aliran perdana di sekolah kerajaan boleh mencipta kejayaan dengan syarat kita ibu bapa kena beri sokongan sepenuhnya.
“Aliran perdana membuktikan bahawa keputusan ini didokong oleh eko sistem yang baik, guru-guru cemerlang,” kata beliau ketika meninjau keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam.
Terdahulu, Fadhlina meluangkan masa meraikan keputusan SPM anaknya di SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Fadhlina yang menghadiri majlis pengumuman rasmi keputusan SPM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekolah itu, duduk di kerusi ibu bapa.
Thurayya Fadhilah, 18, yang juga pelajar di sekolah itu meraih keputusan 9A 2B+.
Secara keseluruhan, keputusan SPM 2022 bagi Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik, iaitu 4.75 berbanding 4.81 pada SPM 2021, dengan GPN mengecil sebanyak 0.06 mata.
Seramai 17 calon atau 0.11 peratus daripada 15,102 keseluruhan pelajar menduduki SPM di WP Kuala Lumpur pada 2022 meraih pencapaian cemerlang tertinggi (Gred A+), dalam semua mata pelajaran, sekali gus meningkat 0.04 peratus berbanding 2021. – UTUSAN










