UMNO tak gadai Melayu,Islam 

UMNO tak gadai Melayu, Islam -Mohamad

SUASANA sekitar kaunter pendaftaran perwakilan semasa tinjauan hari pertama di Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan menggadaikan bangsa Melayu dan agama Islam yang menjadi asas perjuangan parti itu walaupun telah bersama dengan kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, DNA UMNO ialah nasionalisme Melayu dan Islam yang akan sentiasa dipertahankan serta tidak pernah kendur.

Katanya, UMNO tidak pernah lupa diri hanya kerana duduk dalam kerajaan yang di dalamnya ada 19 parti termasuk DAP dan tidak bermakna parti itu membuang identiti agama dan Melayu. 

“Kita parti nasionalis, mempertahankan Melayu dan Islam itu, perjuangan kita, kerana itulah juga kita dipanggil ‘assabiyah’ (berpuak) selama berpuluh-puluh tahun oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik. Sekarang hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam pula.

“Insya-Allah, UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerangka ‘hubbul watan’ (mencintai negara) yang lebih sederhana dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia dengan unit politik dan sosialnya yang beraneka agama, kaum dan etnik serta budaya,” katanya dalam Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Mohamad seterusnya meminta semua pihak agar menghentikan segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO untuk bangsa Melayu dan Islam setelah parti itu memilih bekerja dengan parti-parti kerajaan perpaduan demi masa depan Malaysia.

“Kesimpulannya, kita tidak akan mundur ke belakang. Kita akan terus maju ke hadapan. Kita pro pembangunan. Kita mencintai perpaduan. Kita memilih kestabilan dan kemakmuran.

“UMNO pro kemajuan. Pro pembaharuan dan pro demokrasi. Kita memilih untuk bekerja dengan mereka demi Malaysia. Jadi, tidak timbul soal kita perlu undi parti itu atau parti ini,” jelasnya.

Mohamad menambah, semua pihak perlu mengundi dan memilih parti yang memerintah dengan parti boleh mengurus negara dengan semangat perpaduan dan boleh meneruskan kestabilan politik.

Tambah beliau, walaupun wujud berbeza pendirian dan perspektif yang bertentangan, namun ia tidak akan merencatkan pula kerjasama mereka untuk Malaysia yang lebih maju.

“Kerana itulah hikmah dalam berpolitik. Itulah juga semangat sebuah demokrasi. Yang pasti, UMNO akan mengurus perbezaan tersebut bersandarkan kepentingan perpaduan dan kesepakatan nasional. Realitinya ialah UMNO sebenarnya mewakili kepentingan Melayu dan Islam dalam kerajaan perpaduan.

“Jadi, mari kita terokai jalan untuk mengukuhkan kerjasama ini di pelbagai peringkat dan lapangan. Kerana untuk UMNO, kembali ke acuan ‘identity politics’ yang terlalu sempit dan terlalu terbatas, hanya akan lebih membataskan potensi UMNO dan Malaysia,” jelas Mohamad.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan telah membuka potensi baharu untuk parti itu meskipun tidak pernah terlintas dan tidak pernah terbayang dek akal.

Katanya, UMNO sedang meneroka kerjasama politik yang unik, ‘unprecedented’ atau belum pernah berlaku sebelum ini dan sangat luar biasa.

“UMNO dan BN sedang melalui eksperimen politik yang sangat penting. Panggillah apa pun, jajaran baharu, koalisi baharu, persefahaman baharu. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang ‘business as unusual’ (perniagaan seperti luar biasa).

“Iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepentingan nasional. Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik ‘to rule’ (untuk memerintah) namun tren yang kita lalui waktu ini pula ialah ‘to unite and to govern’ (bersatu dan untuk memerintah),” katanya.

Pada masa sama, Mohamad juga meminta ahli UMNO agar tidak terus bermain dengan ‘the blame game’ (menuding jari) kerana tindakan itu tidak akan membantu parti itu untuk bangkit, sebaliknya terus terperangkap sejak kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“UMNO nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Empat tahun telah terbiar begitu sahaja setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanah air.

“Kita seolah hilang fokus, kepada segala kekusutan dan kesengsaraan yang dilalui bangsa Melayu.Dan kita juga gagal menampilkan solusi yang bernas untuk mereka. Ingatlah, bangsa kita berhadapan dengan pelbagai krisis yang meruncing sejak kebelakangan ini.” tegasnya.

Dalam ucapan beliau, Mohamad berkata, blueprint baharu agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman sangat diperlukan jika UMNO ingin berkelangsungan.

Katanya, harapan beliau ialah supaya Pemuda, Puteri dan kepemimpinan mereka menjadi ‘the moral compass and the moral force’ (hala tuju) untuk parti. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya