ISKANDAR PUTERI: UMNO dibimbangi tidak lagi menjadi wadah utama perjuangan orang Melayu di negara ini sekiranya tiada langkah-langkah berkesan diambil bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, kepimpinan UMNO perlu memainkan peranan penting dalam merencana strategi untuk mengembalikan kepercayaan ahli akar umbi dan orang Melayu, khususnya memberikan penjelasan tentang peranan UMNO dalam kerajaan perpaduan.
“Saya menaruh harapan agar UMNO masih lagi menjadi pilihan utama masyarakat Melayu, tetapi kebimbangan saya adalah terdapat usaha-usaha yang tidak meyakinkan akhir-akhir ini bahawa parti ini masih dominan dalam politik tanah air.
“Ini adalah kerana dalam kerajaan hari ini, kita lebih banyak memainkan peranan sebagai pelengkap sahaja dengan jumlah 26 kerusi Parlimen. Jadi, perlu dijelaskan adakah jumlah kerusi dapat ditambah pada masa depan atau akan terus kekal begitu?
“Jadi, apa yang boleh dibuat, kepimpinan parti perlu memberi penjelasan bukan sahaja kepada perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, malah lebih penting kepada akar umbi dan penyokong,” katanya semasa melawat keadaan Sekolah Agama Tanjung Kupang, di sini hari ini.
Bekas Setiausaha Kerja UMNO Johor itu menambah, langkah memberi penjelasan akan dapat ‘melembutkan’ hati ahli UMNO khususnya di peringkat akar umbi yang berkemungkinan masih tidak jelas tentang peranan parti disayangi mereka dalam kerajaan hari ini.
Baru-baru ini, penganalisis politik melihat UMNO kini tidak lagi menjadi parti politik utama masyarakat Melayu khususnya selepas keputusan dicatat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila hanya memenangi 26 kerusi Parlimen.
Situasi itu menyaksikan UMNO kini dilihat sebagai parti politik Melayu ketiga selepas Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).-UTUSAN