Tony Pua perlu bijak berkawan - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Tony Pua perlu bijak berkawan – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ perlu bijak berkawan dengan meraikan perbezaan pandangan yang sekian lama wujud antara kedua-dua parti tersebut.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebelum membuat sebarang kenyataan, Tony Pua harus memikirkan soal hubungan dan keduanya, mudarat kecil serta besar.

“Kalau hendak cakap soal hubungan, UMNO memang sejak dahulu menolak DAP. Tapi kita terima atas saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kestabilan negara dan mewujudkan kerajaan Perpaduan.

“Berhubung soal mudarat kecil pula, jika berlaku perbezaan pandangan, kita perlu terima dan meraikannya demi menjaga hubungan dibina.

“Jika ini tidak dijaga dan berlaku mudarat besar, tentunya hubungan yang dibina ini boleh musnah dan kerajaan Perpaduan yang dibentuk boleh terkubur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, bekas Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara dalam satu majlis di Petaling Jaya, Selangor dikatakan menggelar BN sebagai pakatan ‘korup’ ibarat seorang gelandangan politik sedang mencari peluang untuk kekal relevan.

Beliau turut menyuarakan pandangan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan sendiri tanpa membabitkan UMNO dan BN jika menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kenyataan Tony itu mendapat respon tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan kenyataan Tony Pua itu adalah atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepemimpinan parti DAP.

Kata Siew Fook, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti itu pada masa kini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar mengingatkan Tony Pua agar tidak mudah terperangkap dengan mainan politik pihak tertentu yang cuba mengucar-kacirkan kestabilan kerajaan Perpaduan hari ini.

“Sebenarnya yang kritik DAP bukan ahli-ahli UMNO, ia pihak lawan khususnya Perikatan Nasional (PN) yang mahu mendapatkan undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

“Jika Tony Pua tidak menjaga hubungan yang terjalin, tentunya orang Melayu akan percaya dengan mainan politik pihak sebelah sana bahawa gabungan dalam kerajaan Perpaduan ini rapuh,” katanya.

Beliau berkata, apa diharapkan ketika ini adalah model kerjasama hari ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan supaya ia kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.

“Kerajaan Perpaduan hari ini perlu terus fokus untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan harga barang dan membantu serta menjaga kebajikan rakyat terutamanya selepas pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya