KUALA TERENGGANU: Nur Farah Melissa Mohd. Shukri terkilan apabila bapanya tidak sempat meraikan kejayaannya yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila meninggal dunia, malam kelmarin.
Nur Farah Melissa, 18, yang mendapat keputusan 8A 2C berkata, dia sedih ketika menerima keputusan tanpa ditemani bapanya, Mohd. Shukri Ismail, 57, yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada pukul 7 malam.
Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah di sini, berkata, lebih menyedihkan ayah tidak bersamanya naik ke pentas untuk mengambil keputusan SPM di sekolah.
Menurut anak sulung daripada empat beradik, ayahnya menghidap kencing manis dua tahun lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Isnin lalu.
“Saya berada di sisi ayah ketika dia mengembuskan nafas terakhir, namun apa yang menyedihkan, saya tidak sempat berkongsi berita gembira ini dengan ayah.
“Ayah sudah lama menanti peluang ini malah menjadi pendorong utama kejayaan,” katanya.
Nur Farah Melissa berkata, dia berhasrat meneruskan impian arwah ayahnya dengan menyambung pelajaran ke luar negara dalam jurusan akaun dan menjadi contoh kepada tiga lagi adiknya.- UTUSAN










