ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Wisma Darul Aman bagi menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Kenderaan rasmi membawa Sultan Sallehuddin tiba di pintu utama bangunan pentadbiran tersebut pada pukul 10.26 pagi ini setelah Muhammad Sanusi tiba di lokasi sama tidak lama sebelum itu.
Difahamkan, Muhammad Sanusi turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood untuk mengadap Sultan Sallehuddin.
Muhammad Sanusi kemudiannya dijadualkan mengadakan sidang akhbar kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Penggal lima tahun DUN Kedah sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini, namun, Muhammad Sanusi sebelum ini memaklumkan, beliau berhasrat untuk mencadangkan agar DUN dibubar pada 28 Jun bersempena hari wukuf.
Kedah memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi iaitu Pas (14), Bersatu (6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi iaitu PKR (5), Amanah (3), DAP (2), sementara Barisan Nasional (BN) dan Pejuang masing-masing dua kerusi.
Dua lagi kerusi kosong selepas ADUN Gurun daripada PKR, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu selepas menjadi antara calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara ADUN Belantek dari Pas, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia, 14 Jun lalu.-UTUSAN