SPRM belum buka siasatan isu skandal Opcom

SPRM belum buka siasatan isu skandal Opcom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuka kertas siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa membabitkan Telekom Malaysia Bhd. (Telekom) dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti dakwaan berkenaan memandangkan ia berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, SPRM perlu meneliti dengan telus berhubung dakwaan berkenaan. 

“Setakat ini tiada siasatan dibuka, kita sedang meneliti perkara itu dan siasatan akan dibuka jika maklumat diperlukan lengkap. 

“Isu ini sudah lama, jadi, kita perlukan sedikit masa. Bagaimanapun, kita akan melihat perkara ini dengan telus. Ketelusan perlu ada daripada kami untuk jalankan siasatan kepada sesiapa jua,” katanya selepas merasmikan Hari Integriti WTCKL 2023 di sini hari ini. 

Pada 17 Jun, Azam dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya ada aduan dan mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003 yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN