KUANTAN: Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang cemerlang dari sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, dekat sini, memperoleh keputusan 8A1B, hari ini.
Calon CBPK, Muhammad Aziq Asri, 18, antara calon di negeri ini yang dikategorikan sebagai pengidap ‘mild autism’.
Muhammad Aziq berkata, bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang sejarawan, dia berhasrat menyambung pengajiannya di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada pengambilan akan datang.
Menurutnya, meskipun memperoleh keputusan cemerlang keputusan tersebut adalah hasil nasihat dan perbincangan bersama guru kaunseling.
“Saya sangat minat dalam mata pelajaran Sejarah dan kerana itu ingin menjadi seorang sejarawan satu hari nanti.
“Dengan itu, saya ada berbincang dengan guru kaunseling dan atas nasihatnya, saya bersetuju menyambung pelajaran ke peringkat STPM terlebih dahulu.
“Selepas itu, baharulah saya mengambil diploma dan kemudiannya ijazah untuk mencapai cita-cita saya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Aziq berkata, minatnya terhadapa mata pelajaran Sejarah sangat mendalam dan dalam masa yang sama setiap kali peperiksaan keputusan matapelajaran tidak pernah menghampakannya.
Jelasnya, dia begitu teruja setiap kali memasuki kelas sejarah terutama untuk terus mendalami perkara-perkara berkaitan Perang Dunia.
“Saya mula minat Sejarah ketika di darjah empat di mana ketika peperiksaan saya mendapat markah yang baik dalam Sejarah.
“Sejak dari itu saya suka membaca tentang Sejarah terutama berkaitan dengan perang dunia.
“Kemudian ketika di sekolah menengah, saya suka bermain permainan video tentang perang dan dari situ, banyak pengetahuan yang kita dapat maka saya mula minat untuk mendalami setiap sejarah berkaitan,” katanya yang merupakan anak kedua daripada dua beradik.
Sementara itu, tambahnya lagi, untuk memperoleh keputusan cemerlang terutama dalam SPM, amalannya adalah memperbanyakkan pembacaan tanpa mengira bahan bacaan yang diperoleh.
Katanya, dia memang suak membaca untuk mencari setiap maklumat diinginkan sama ada melalui pembacaan buku, mahupun carian di lama sesawang.
“Kalau hendak kata saya banyak belajar itu tidak juga, tetapi saya suka membaca. Saya banyak mendapatkan bahan bacaan dari Google (enjin carian),” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Aziq, Marlia Thaalmudin, 48, yang turut ditemui berkata, anaknya itu dikesan menghidap penyakit ‘mild autism’ ketika berusia 5 tahun.
Jelasnya, anaknya ketika itu jelas menunjukkan kepayahan untuk bertutur dan ketila usainya sudah menjangkau 5 tahun masih tidak boleh bercakap.
“Selepas dibawa berjumpa dengan doktor, doktor sahkan anak saya menghidap penyakit ‘mild autism’ dan sejak itu setiap persekolahan baharu bermula, saya berusaha memberi penjelasan kepada guru tentang permasalahan anak saya ini.
“Alhamdulillah di SMK Bukit Rangin ini, guru-guru banyak membantu selain rakan-rakan sekolah yang boleh menerima keadaan Aziq.
“Aziq adalah seorang yang sangat rajin dan suka membaca. Berkat dorongan dan sokongan guru dan rakan sekelasnya, kami bersyukur dan berbangga dengan keputusan diperolehinya dalam peperiksaan SPM ini, ini juga adalah berkat daripada kegigihannya sendiri yang sentiasa mahukan kejayaan,” katanya yang ditemani suaminya, Asri Mohd Din, 54. -UTUSAN