Sindiket jual sijil kelahiran dibongkar SPRM - Utusan Malaysia

Sindiket jual sijil kelahiran dibongkar SPRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 12 individu termasuk dua pegawai agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam tindakan memalsukan dokumen sijil lahir untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.

Penahanan kesemua suspek terdiri empat orang doktor perubatan swasta dan enam orang awam dilakukan kira-kira pukul 6 petang tadi.

Satu sumber memberitahu, kesemua suspek lingkungan usia 42 hingga 81 tahun itu ditahan dalam satu serbuan berasingan yang dilakukan di beberapa lokasi sekitar lembah Klang.

Tambah sumber, pemohon (orang awam) akan membayar wang rasuah sama ada secara peribadi atau menerusi orang tengah kepada doktor di klinik-klinik tertentu bagi mendapatkan surat pengesahan kelahiran yang palsu dimana anak yang akan didaftarkan sebenarnya tidak dilahirkan di klinik tersebut.

Kata sumber, doktor tertentu akan menandatangan dan mengesahkan borang kelahiran bagi mengesahkan kelahiran pemohon di klinik berkenaan walaupun ianya tidak berlaku.

“Kemudian dengan pengesahan tersebut pemohon atau orang tengah akan menguruskan pendaftaran kelahiran anak dan sekiranya terdapat keraguan pihak berkaitan akan memaklumkan kepada pemohon bahawa permohonan tidak dapat diproses dan perlu menunggu tindakan lanjut.

“Kaunter agensi kerajaan kemudian akan merujuk permohonan ini ke Bahagian Siasatan Khas untuk dibuka fail siasatan,” kata sumber itu.

Mengulas lanjut, kata sumber, pemohon atau orang tengah kemudian akan cuba berurusan dengan pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan status permohonan.

Jelas sumber, sekiranya permohonan mereka ditolak atau disenarai hitamkan mereka akan menawarkan sejumlah wang rasuah kepada pegawai terlibat untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan itu.

“Jumlah bayaran rasuah yang diterima adalah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi setiap kes,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 ASPRM 2009.

Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok bagi permohonan reman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.