Semua Exco N. Sembilan pulangkan kenderaan rasmi selepas hari penamaan calon - Utusan Malaysia

Semua Exco N. Sembilan pulangkan kenderaan rasmi selepas hari penamaan calon

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan diarah untuk memulangkan semula kenderaan rasmi masing-masing selepas hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun bagi yang mahu menggunakan kenderaan berkenaan untuk tujuan rasmi adalah dibenarkan untuk berbuat demikian memandangkan mereka masih menjalankan tugas sebagai caretaker government (kerajaan sementara).

“Kami masih caretaker bagi kerajaan negeri yang menjalankan tugas rasmi dan Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri. Kami telah berbincang tadi, jika diikutkan kami boleh menggunakan kenderaan tersebut sehingga hari terakhir. 

“Cuma dalam kempen kita kena mengelakkan kenderaan rasmi digunakan itu sahaja kalau boleh elakkan walaupun ia tidak menjadi kesalahan. Ini termasuk bagi mana-mana Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri yang tidak lagi menjadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini. 

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada pukul 10 pagi 28 Jun ini di Istana Hinggap di sini bagi mendapatkan perkenan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, seramai 500,000 orang pengunjung dijangka menghadiri ke penganjuran NS Fest 2023 yang akan berlangsung bermula esok sehingga 25 Jun ini di Dataran Nilai di sini.

“Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Negeri Sembilan pada kali ini lebih meriah dengan ruang peniaga yang lebih banyak dan terdapat pelbagai program turut diadakan.

“Lebih menarik, NS Fest turut akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN