Sempat hubungi kakak beritahu terkena bom - Utusan Malaysia

Sempat hubungi kakak beritahu terkena bom

JENAZAH Mohd. Syuib dibawa ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas menaiki kenderaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum diterbangkan menggunakan helikopter TUDM ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Salah seorang jurulatih yang terkorban dalam insiden letupan bom lempar semasa sesi latihan di Kem Syed Sirajudin, Gemas semalam sempat menghubungi kakaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Noraziah Bidin, 42, menerima panggilan tersebut petang semalam daripada adiknya, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Koperal Udara (U) Mohd. Syuib Bidin, 33.

“Waktu dia telefon, saya tidak tahu apa-apa sebab adik saya beritahu dia sudah kena bom. Selepas itu saya tidak tahu apa-apa dan bila sudah dekat Maghrib, baru tahu adik saya sudah meninggal dunia. 

“Dia sangat baik selalu bantu orang, seorang yang periang, baik hati dan sering membantu keluarga daripada pelbagai sudut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Segamat.

Menceritakan kembali rentetan kejadian semalam, Noraziah diberitahu kesihatan adiknya merosot pada tengah hari semalam di Hospital Segamat dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 6 petang.

Noraziah memberitahu, Mohd. Syuib dan keluarganya telah mengemas pakaian sejak beberapa hari lalu untuk pulang ke kampung di Sik, Kedah bagi meraikan Hari Raya Aidiladha dan kali terakhir  berjumpa adiknya beberapa bulan lalu. 

“Namun saya sering mengambil tahu tentang perkembangan terkininya dan keluarga menerusi telefon.

“Saya berasa amat sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyambut Aidiladha bersama-sama arwah. Namun saya dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya,” kongsinya dalam nada hiba.

Jenazah Allahyarham Mohd  Syuib dibawa ke surau Hospital Segamat kira-kira pukul 8 pagi untuk dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan.

Jenazah kemudian akan dibawa ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas menaiki kenderaan  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum diterbangkan menaiki helikopter TUDM ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan di kampung halamannya.

Dalam insiden yang menyayat hati semalam, seorang penuntut, Laskar Udara I, Mohd. Iqmal Masdi, 22,  disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat letupan bom lempar semasa Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) di Tapak Latihan Grenade Asas di Kem Syed Sirajudin, Gemas.

Selain Mohd. Syuib, seorang lagi jurulatih, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, berasal dari Kluang kini menerima rawatan di Hospital Segamat dan keadaannya dilaporkan stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN