PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah projek solar selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan isteri bekas Perdana Menteri untuk mendapat kebenaran memulakan tindakan sivil tersebut selepas berpuas hati rayuan itu tiada merit.
Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun turut memerintahkan kos RM10,000 dibayar kepada pihak responden.
Dengan keputusan itu, Rosmah gagal mengembalikan semakan kehakimannya ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar pelantikan Sri Ram (kini mendiang).
Hakim Mee Chun ketika membacakan keputusan itu berpuas hati, Rosmah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa tiga bulan yang dibenarkan oleh undang-undang.
Ujarnya, pada hemat panel itu, isteri bekas Perdana Menteri perlu memfailkan permohonan selewat-lewatnya pada 21 Mei 2021, iaitu tarikh fiat ketiga dikeluarkan oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Sebaliknya, Rosmah memfailkan permohonan itu pada 24 Jun 2022 ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei 2022 bahawa relif yang sesuai adalah melalui permohonan sivil.
Rosmah sebelum itu memfailkan permohonan jenayah namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya juga tidak dibenarkan.
Mahkamah berpendapat, Rosmah sepatutnya memfailkan semakan kehakiman dahulu bagi mengelakkan pertindihan dan kepelbagaian tindakan undang-undang dalam usaha mencabar pelantikan Sri Ram.
Pada penghujahan 18 Mei lalu, peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Rosmah (perayu) manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden.
Peguam-peguam perayu berhujah, ketiga-tiga surat pelantikan (fiat) Sri Ram masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah tidak sah dan tidak munasabah.
Ini kerana fiat itu sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas Rosmah dan wajar dikemukakan sebelum perbicaraan.
Sehubungan itu, perayu menyatakan, keseluruhan perbicaraan kes projek solar yang dihadapi oleh Rosmah adalah terbatal kerana surat pelantikan tidak dikemukakan sejak awal.
Sementara itu, pihak responden berhujah, semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada isu berhubung pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan, dibangkitkan.
Isteri bekas Perdana Menteri mengemukakan rayuan selepas gagal mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi memulakan tindakan sivil itu bagi mencabar pelantikan Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes projek solar hibrid.
Pada 30 Ogos 2022 Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonannya selepas membenarkan bantahan awal pihak responden bahawa kebenaran semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.
Dalam permohonan itu, Rosmah menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.
Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan melalui tiga surat pelantikan bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.
Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar adalah terbatal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau.
Pada 1 September 2022, Mohamad Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Rosmah disabitkan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.
Rasuah itu diterima melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga solar hibrid kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.-UTUSAN