Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah semakin terasa.
Kelantan mengesahkan pembubaran DUN 22 Jun, Pulau Pinang 28 Jun dan Negeri Sembilan 30 Jun. Kedah, Terengganu dan Selangor belum mengesahkan tarikh pembubaran.
Tinjauan dalam kalangan pengundi muda di enam negeri itu mendapati mereka melihat isu semasa seperti isu air, wakil rakyat bersih dan kerajaan yang mampu menawarkan peluang pekerjaan, selain aura kepemimpinan sedia ada sebagai faktor untuk memilih calon.
PETALING JAYA: Karisma calon, keupayaan mentadbir, mampu mewujudkan peluang kerja dan integriti antara faktor utama yang akan diambil kira oleh pengundi muda di enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Kesetiaan kepada parti yang disokong juga akan menentukan pilihan golongan tersebut.
KEDAH
Pengundi muda dilihat cenderung memilih Perikatan Nasional (PN) kerana yakin gabungan itu mampu menentukan arah dan corak pentadbiran seperti dikehendaki mereka.

Rata-rata yang ditemui Utusan Malaysia mendakwa, keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Perpaduan gagal menunaikan janji bagi mewujudkan kestabilan serta tidak prihatin dengan golongan muda yang memerlukan pekerjaan untuk meneruskan hidup.
Malah, mereka turut berharap pentadbiran kerajaan negeri terus dikuasai PN kerana yakin nasib mereka akan lebih baik kerana gabungan berkenaan dirasakan lebih memahami kehendak golongan muda.
Muhamad Aimaduddin Fitri Othman, 23, dari Taman Ria Jaya berkata, dia berasa gembira apabila kali pertama diberi peluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.
“Namun disebabkan pilihan kami ketika itu tidak berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan seperti diharapkan, maka kami harap PRN nanti akan membolehkan PN menang bersih di semua kerusi,” katanya di sini, semalam.
MENGUNDI
Bagi Muhammad Hazim Shahir, 24, dari Taman Wira pula, dia akan keluar mengundi seawal mungkin pada PRN kelak kerana ingin memastikan kejayaan PN membentuk kerajaan negeri disebabkan yakin dengan gabungan tersebut.
“Kami sebagai anak muda tidak mahu politik kepartian dibawa dalam pentadbiran kerajaan secara berterusan kerana ia merugikan masa depan kami yang hanya ingin bekerja mencari sumber kewangan,” katanya.
Pembantu kedai makan, Mohamad Izman Hussin, 22, berkata, disebabkan tiada peluang pekerjaan yang sepatutnya, dia dan ramai lagi rakannya terpaksa bekerja tanpa boleh memilih bidang pekerjaan semata-mata untuk mencari pendapatan.
“Dulu selepas tamat persekolahan saya bekerja di sebuah kilang, namun disebabkan ekonomi merudum kilang berkenaan ditutup hingga menjejaskan pendapatan membantu menyara keluarga.
“Saya tetap memilih PN untuk PRN kali ini kerana yakin dengan kerja kuat dan keupayaan kepimpinan negeri sekarang yang lebih terarah membangunkan negeri dan mencipta peluang untuk kami anak muda bekerja,” katanya.
NEGERI SEMBILAN
Seorang penuntut sebuah universiti, Sharifah Ilham Sofea Nazarudin, 21, berkata, generasi muda tidak lagi melihat hanya satu-satu parti tertentu yang boleh diberikan sokongan.
“Sudah pasti pilihan anak muda ialah parti yang mampu menawarkan khidmat yang menyeluruh untuk rakyat tanpa mengira kedudukan atau status sosioekonomi mereka,” katanya.
Bagi pengundi muda dari Nilai di sini, Muhamad Faris Mohd. Faisal, 25, selain nilai integriti dibawa sesebuah parti, dia memilih calon wakil rakyat yang mempunyai prestasi dan sumbangan kepada masyarakat.
“Kriteria parti atau calon yang akan saya pertimbangkan ialah nilai-nilai integriti yang dibawa oleh mereka. Saya juga melihat prestasi dan sumbangan mereka kepada masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, seorang lepasan universiti, Ammar Eirfandt Rahmat, 23, pula berkata, dia lebih mengutamakan latar belakang pendidikan seseorang calon wakil rakyat selain rekod prestasinya sebelum ini.
“Kalau mengundi memang saya akan lihat faktor pendidikan seseorang pemimpin itu kemudian rekod prestasinya dalam memberikan khidmat kepada masyarakat sebelum ini,” katanya.
KELANTAN
Seorang kakitangan swasta, Nurul Zawani Ajizi, 22, berkata, sudah tiba masanya rakyat di negeri ini merasai pembangunan serta kemajuan seperti di negeri lain.
“Sampai bila rakyat Kelantan terutamanya golongan muda perlu berhadapan dengan masalah kekurangan peluang pekerja serta gaji yang sangat rendah.
“Bukan itu sahaja, pembangunan di Kelantan juga agak perlahan berbanding negeri lain termasuk kemudahan-kemudahan awam yang sedia ada begitu daif,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagi pekerja swasta, Muhammad Fauzan Abd Ghafar,25, berkata, perubahan perlu dilakukan segera oleh rakyat Kelantan bagi menyelesaikan masalah utama yang mengganggu kehidupan harian iaitu masalah bekalan air bersih.
“Rakyat sudah tidak larat untuk berdepan masalah ketiadaan bekalan air yang tidak pernah selesai meskipun sentiasa disuarakan oleh rakyat.
“Jadi saya harap kepimpinan akan datang dapat menyelesaikan isu air secepat mungkin kerana rakyat sudah terbeban dengan masalah ini sejak sekian lama,” ujarnya.
Seorang lagi pengundi, Mohamad Azuan Ismail, 22, dari Kampung Jelor, Pasir Puteh berkata, dia akan memilih BN untuk melihat negeri Kelantan berubah dalam pelbagai aspek pembangunan termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri perlu selari dengan Kerajaan Persekutuan yang pastinya akan membantu pelbagai keperluan yang diperlukan rakyat.
“Kelantan seharusnya berubah dan bukan dilihat sebagai negeri parti pembangkang,” katanya.
SELANGOR
Kakitangan swasta, Muhammad Iman Shaufi Rahizam, 21, dia mahu bakal pemimpin negeri semestinya mempunyai reputasi bersih daripada sebarang rekod buruk dan berpengalaman luas.
“Bagi saya, apa yang penting mereka mendengar suara dan keperihan rakyat tanpa mengira parti atau kaum. Pemimpin itu perlu bersikap adil kepada semua dan tidak hanya mengutamakan kepentingan peribadi atau pihak mereka semata-mata,” kata anak kelahiran Meru, Klang itu.
Bagi mahasiswa universiti awam, Nurhainis Syasya Hairudin, 22, kepimpinan yang bakal dipilih perlu sentiasa menerapkan nilai integriti terbaik dalam diri dan pentadbiran mereka.
“Pemimpin itu wajib bijak menilai atau membuat keputusan dan matang dalam menangani sebarang masalah dihadapi pelbagai lapisan masyarakat di Selangor. Kita tidak mahu masih ada golongan yang tercicir atau terpinggir menerima pelbagai manfaat disediakan kerajaan,” ujarnya.
Bagi pekerja p-hailing, Farid Uddin Azalan, 27, dia sememangnya tidak begitu mengikuti senario politik tanah air namun mengharapkan sesuatu pembaharuan realistik di negeri ini.
“Saya secara jujurnya muak dengan suasana politik dan mahu sesuatu yang lebih baharu dan drastik. Ini antaranya berkaitan isu kos sara hidup yang kian mendesak bukan saja kepada golongan kurang berkemampuan malah belia seperti saya,” ujar anak ketiga daripada empat beradik dari Kapar, Klang itu.
Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), Nurul Nadhirah Kefli, 21, pula berkata, seseorang pemimpin itu perlu mementingkan kebajikan rakyat bagi menjalani kehidupan seharian lebih baik bersama dengan ekonomi yang stabil.
“Pemimpin tersebut mesti seorang yang peka dan bijak merancangnya secara sistematik dengan mengambil kira aspek kebaikan dan keburukan pelaksanaannya,” jelasnya.
Bagi pekerja swasta, Muhammad Ammar Shahmi Mohd. Nazeri, 26, dia mahu memilih pemimpin muda yang lebih ‘segar’ dan mempunyai idea baharu bagi pembangunan negeri ini.
“Saya tidak kisah sesiapa, namun apa yang penting mereka semestinya bebas daripada rekod buruk terutama gejala rasuah. Selangor mempunyai penduduk amat ramai dan rakyat memerlukan individu boleh dipercayai bagi mendengar nadi denyut keperluan kami,” tegasnya.
TERENGGANU
Seorang peniaga, Wan Tarmizi Wan Ngah, 25, mengakui masih berbelah bahagi untuk membuang undi kepada parti pilihan dalam PRN nanti.
“Saya perhatikan semua parti politik utama ada liabiliti masing-masing tetapi mungkin itu tidak boleh dielakkan dalam politik. Kami cuma ingin kerajaan yang stabil dan kuat,” katanya.
Menurut pekerja swasta, Ahmad Fahmi Che Man, 25, pula, beliau mahu diwakili seorang wakil rakyat yang rajin turun padang menyelami masalah setempat, seterusnya membawa jalan penyelesaian setiap masalah yang dihadapi rakyat.
Katanya, pengundi muda sentiasa mengharapkan perhatian daripada wakil rakyat terutamanya dalam bidang sosial dan ekonomi.
“Saya akan memberi undi kepada parti yang dilihat dapat memajukan lagi negeri ini untuk kepentingan generasi muda,” ujarnya.
Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Suriani, 24, berkata, parti yang menjalankan kempen secara berkesan di media sosial akan lebih berpeluang untuk memenangi PRN nanti.
“Kebanyakan golongan muda didapati lebih berminat untuk mengikuti kempen pilihan raya di media sosial berbanding ceramah umum,” katanya.
PULAU PINANG
Seorang penjawat awam, Muhammad Najib Md. Nazri, 24 berkata, kriteria pemimpin yang paling diingini adalah individu yang cakna dengan kesusahan masyarakat secara terperinci.
Katanya, pemimpin harus turun padang melihat sendiri pemberian agihan bantuan kepada orang ramai di kawasan yang dipimpin.
“Ramai penduduk kampung yang susah di kawasan kediaman saya di Pulau Pinang ketika ini namun, tidak mendapat bantuan yang disediakan kerana pihak yang mengendalikan bantuan tersebut hanya memberikan kepada ‘kroni’ sendiri.
“Sebagai contoh, bantuan makanan dan zakat kariah hanya diberikan kepada masyarakat yang pergi ke masjid sahaja tanpa meneliti dan mencari secara teliti penduduk yang benar-benar susah dan memerlukan,” katanya.
Najib yang akan turun mengundi di kawasan Kulim, Kedah berkata, dia bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku di tempatnya kerana penduduk kampung mendapat sumbangan yang secukupnya.
Pekerja Swasta, Aizatie Najmin Sulaiman, 24, yang mengundi di daerah Bukit Mertajam plula berkata, pemimpin semestinya sentiasa cakna dengan masalah masyarakat, tidak kira dari segi ekonomi, pendidikan dan hal ehwal semasa.
“Saya juga berharap pemimpin seterusnya tidak berat sebelah dan tidak bermain dengan sentimen perkauman dalam memimpin,” katanya. – UTUSAN










