PRN: Jelajah enam negeri bukti Anwar takut 'tsunami' PN

PRN: Jelajah enam negeri bukti Anwar takut ‘tsunami’ PN

MOHD. Amar Nik Abdullah semasa Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelajah ke enam negeri yang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi memberi isyarat jelas Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) takut untuk berdepan ‘tsunami’ Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kemenangan PN di enam buah negeri itu bakal mengubah landskap politik negara pada masa hadapan yang akan menjadi tuntutan ketidak percayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Inilah yang amat ditakuti oleh kerajaan hari ini. Sebab itulah Perdana Menteri turun ke semua negeri (PRN) dan ia memberi petanda kebimbangan serta ketakutan mereka dengan perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Sebab itulah kita (PN) kena usahakan dengan sepenuh daya dengan mempertahankan tiga negeri sedia ada (Kelantan, Terengganu dan Kedah) dan merampas tiga lagi (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan),” katanya semasa bercakap pada Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, sekiranya Pas dan PN hanya mampu mempertahankan tiga negeri sedia ada situasi tersebut akan memberi kelebihan kepada PH dengan mendakwa rakyat menyokong Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Pas dan PN akan terus bekerja keras untuk menyekat gabungan PH bersama sekutunya Barisan Nasional pada PRN nanti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN