PUTRAJAYA: Perdana Menteri mahu semua projek yang mempunyai kepentingan dengan rakyat seperti baik pulih sekolah dan fasiliti kesihatan yang sudah diputuskan segera dilaksanakan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua jabatan kerajaan perlu meneliti mana-mana projek yang diluluskan sebelum ini sama ada ia belum dilaksanakan atau sudah dimulakan.
“Saya ingin menggesa dalam minggu ini semua jabatan dan mesyuarat, lihat apa yang diluluskan dan apa yang mula dilaksanakan apa yang belum dilaksanakan, apakah kerana peruntukan tidak sampai, apakah kerana ditugaskan kepada kementerian lain,” kata beliau ketika berucap dalam perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Jun di sini semalam.
Menurut beliau, perkara tersebut telah disampaikan kepada Jemaah Menteri selain perbincangan juga dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan disertai Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan projek-projek dirancang sampai kepada rakyat.
Kata Anwar, beliau sendiri akan turun padang berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan termasuk penyaluran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih juga perlu disegerakan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, bagi mempercepatkan projek untuk rakyat, kerajaan mengarahkan projek-projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif yang sebelum ini di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.
Bagi mencapai objektif tersebut, Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah pada minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.
SEKOLAH DAIF
“Saya ada bincang dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai projek sekolah daif, klinik daif atau baiki tandas sekolah, ia tidak perlu dibebankan kepada JKR yang ada tanggungjawab lebih besar, ia boleh dipindahkan ke jabatan atau pejabat daerah.
“Projek besar itu penting seperti tebatan banjir, lebuh raya, tetapi projek-projek seperti tandas sekolah, parit tepi rumah, pagar masjid runtuh, semua itu bagi penduduk sangat penting termasuk penyaluran banturan STR dan e-Kasih itu saya bagi arahan disegerakan,” katanya.
Anwar berkata, peranan jentera kerajaan di peringkat bawah sangat penting supaya hal-hal berkaitan masalah rakyat di lapangan dapat disampaikan ke peringkat bawah dan boleh diselesaikan segera.
“Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof terima rungutan masih ada masalah mengenai bekalan gula dan minyak masak di Baling. Hal-hal seperti itu kadang-kadang maklumat kita dapat di peringkat tinggi tak sama di bawah.
“Apabila disampaikan begitu oleh TPM maknanya harus ada jentera kerajaan di bawah disampaikan kepada kementerian berkenaan supaya hal ini ditangani dengan baik,” katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar Anwar selepas mempengerusikan Mesyaurat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bagunan Perdana Putra semalam, Anwar berkata, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada peruntukan subsidi kerajaan dinikmati golongan kaya.
Menurut beliau, perkara itu tidak munasabah untuk diteruskan sebagaimana pemberian subsidi tarif elektrik dan kos pelaksanaan haji.
TINDAKAN
Oleh itu, kata beliau, langkah penjimatan melalui tindakan merasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan iaitu sebahagian daripada kerangka Naratif Ekonomi Madani yang akan dilancarkan kerajaan pada Ogos ini sebagai memberi satu panduan jelas mengenai pelaksanaan kementerian berkaitan subsidi untuk golongan berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, menurut beliau, sebarang langkah menetapkan mekanisme subsidi bersasar itu, kerajaan tidak sekali-kali berganjak untuk mengurangkan subsidi bagi rakyat bawahan.
“(Mekanisme rasionalisasi subsidi) mungkin kita akan buat mengikut keadaan seperti kita sudah lakukan untuk tarif elektrik dan Tabung Haji kerana penjimatan itu perlu.
“Dalam kajian dibentangkan oleh Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan dalam mesyuarat tadi (semalam), sekurang-kurangnya 40 peratus subsidi sampai kepada golongan kaya, jadi saya tidak faham kenapa sesetengah orang masih nak pertahankan.
“Subsidi Tabung Haji dan elektrik selama ini dimanfaatkan golongan kaya tidak munasabah diteruskan, jadi prinsip ini akan tetap diguna pakai dalam perbincangan soal pengurangan subsidi diesel dan lain-lain,” kata beliau.- UTUSAN









