JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan penduduk setinggan di Kampung Dato’ Hajah Hasnah, di sini bagi menguruskan perpindahan mereka ke empat pangsapuri di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, sebelum ini, penduduk kampung tersebut ditawarkan pangsapuri di EDL yang terdiri daripada Pangsapuri Taman Desa Belantik, Pangsapuri Desa Melayu, Pangsapuri Dato’ Hajah Hasnah dan Pangsapuri Desa Jaya.
“Mengikut Dasar Kerajaan Johor, jika penduduk setinggan itu merupakan warga tempatan, kita bertanggungjawab mencari rumah untuk ditawarkan kepada mereka. Itu kaedah kita, sekiranya ia melibatkan warganegara asing, kita memang tidak bertoleransi.
“Untuk penduduk setinggan di Kampung Dato’ Hajah Hasnah, tempat yang ditawarkan kepada mereka adalah di empat pangsapuri di EDL yang mempunyai 2,200 unit keseluruhan.
“Pada tahun lalu, ramai antara mereka telah mendapat kunci rumah pangsapuri itu tetapi enggan berpindah kerana ada beberapa isu seperti bau najis, sistem perparitan dan sebagainya. Pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM24 juta untuk selesaikan isu ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taman Desa Kempas, di sini.
Semalam, media melaporkan kira-kira 100 keluarga setinggan di Kampung Dato’ Hajah Hasnah menzahirkan kebimbangan setelah menerima notis pencerobohan tanah kerajaan terbabit dan diarahkan mengosongkan kawasan tersebut.
Mengulas lanjut Mohd. Jafni memberitahu, tindakan merobohkan kediaman yang dilakukan di kampung tersebut hanya melibatkan rumah setinggan yang telah kosong dan diduduki oleh warga asing.
“Untuk robohkan sesebuah rumah di Johor, bukan boleh roboh begitu sahaja. Di peringkat Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru, rumah setinggan yang lama dan kosong serta yang diduduki warga asing akan dirobohkan.
“Jadi, tindakan yang telah kita lakukan hingga 26 Jun lalu, sebanyak 23 unit rumah setinggan yang kosong dan didiami warga asing di kampung terbabit telah dirobohkan. Jika dibiarkan, dikhuatiri ada orang lain pula akan masuk atau disewakan kepada pihak ketiga,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Jafni turut menyangkal dakwaan penduduk terbabit bahawa pangsapuri di EDL yang ditawarkan kepada mereka tidak mempunyai tidak Sijil Perakuan Kelayakan (CF), sekali gus menjadi punca mereka enggan berpindah.
“Dakwaan tiada CF itu tidak betul, lebih 2,000 unit pangsapuri EDL itu juga ada Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan tiada masalah teknikal,” katanya.-UTUSAN