KUALA LUMPUR: Walau sepahit mana keadaan UMNO kini ‘cedera’, namun ubat paling mujarab adalah kesatuan hati serta perpaduan yang utuh tanpa perpecahan dalaman parti itu sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu kini perlu dirawat dan dipulihkan manakala ubat paling mujarab untuk memulihkan UMNO harus bermula dengan kesatuan dan perpaduan sesama ahli.
“Parti yang tercedera tidak perlu kepada pecah-belah, tidak perlu terus diporak-perandakan, tetapi ia memerlukan hati-hati yang bertemu dan bekerja, bersatu, bangsa dan tanah air yang sangat kita kasihi.
“Marilah kita jadikan pemulihan dan kebangkitan UMNO sebagai misi utama dan bersama, misi yang dijayakan dengan meletakkan orang Melayu dan bangsa kita sebagai keutamaan melebihi segala yang lain,” kata beliau dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO dilihat berbeza dengan parti lain kerana mempunyai ahli yang benar-benar setia pada perjuangan parti meskipun diugut sesetengah pihak.
Dengan mengambil contoh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini pernah meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO, perkara itu tetap dipertahankan pemimpin berkenaan walaupun terpaksa berhadapan dengan pendakwaan.
“Buku ini saya dapat pagi tadi, bila saya go through, Datuk Seri Zahid maklumkan kepada sahabat secara ringkas dalam nada tegas, Tun Mahathir minta saya bubar UMNO dan beritahu semua ahli UMNO untuk sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Tun Mahathir suruh saya lupakan UMNO sebab UMNO terlalu kotor.
“Tetapi Presiden kita tak bubarkan UMNO dan sanggup hadapi pendakwaan di mahkamah, kita bagi penghormatan kepada Presiden. Inilah kelebihan orang parti yang membezakan kita dengan rakan-rakan lain, yang telah memilih jalan berbeza, mengkhianati parti,” katanya. – UTUSAN