Walaupun UMNO jadi sebahagian kerajaan, jangan tagih jawatan

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: Walaupun sebahagian kerajaan, jangan tagih jawatan dan kontrak

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diiringi Mohamad Hasan tiba di pekarangan Dewan Merdeka bagi menghadiri sesi taklimat sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin dan ahli UMNO digesa menghentikan menangih terhadap segala kedudukan jawatan dan kontrak projek meskipun menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangan itu demi kelangsungan parti kerana tidak mahu semua penggerak UMNO terus terpedaya dengan kuasa dan imbuhan tertentu.

Malah, kata beliau, lebih merisaukan apabila wujud desakan tertentu untuk mendapatkan seperti ‘kuota khas orang muda atau ‘dewan khas untuk orang muda’ atau ‘senator untuk orang muda’.

“Anda semua tidak perlukan semua yang ‘khas’ itu. Anda semua mesti menjadi bahagian utama pada sesuatu yang perdana, besar dan dominan dalam parti dan politik serta kemaslahatan Malaysia.

“Pemikiran pemisahan khusus untuk golongan muda dalam bentuk seperti kuota khas dan pelbagai keistimewaan lagi adalah pemikiran lapuk. Ia adalah pemikiran imperialisme yang suka pisah memisah, suka kepada class dan strata.

“Parti ini dan tanah air ini mesti dibangunkan oleh gandingan semua. Bukan terpecah dan terpisah, antara yang muda dan tua, yang baru dan veteran, yang lelaki dan yang wanita,” katanya dalam Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Pada masa sama, Mohamad menegaskan, tiada individu yang terlalu istimewa dalam UMNO yang harus diberikan segala setelah diminta hanya kerana daripada kelas tertentu, sebaliknya parti akan memberi ruang kepada sesiapa jua asalkan mempunyai karakter kuat, jujur dan budiman untuk membangun bangsa dan negara.

Justeru, kata beliau, UMNO perlu mempunyai pelan penyediaan pemimpin generasi kelima dan keenam dengan mesti mengenal pasti dan melatih sekelompok generasi pelapis untuk menyediakan mereka bagi mengambil alih parti dan negara ini pada suatu masa nanti.

“Yang pasti UMNO memerlukan pemimpin masa depan yang berbakat. Tidak kiralah dari Universiti Malaya atau Al Azhar atau Oxford atau Harvard atau hanya daripada persekolahan pengalaman,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO tidak lagi boleh hidup dalam penafian setelah tewas dalam dua pilihan raya umum (PRU) di samping kini bukan lagi menjadi blok politik Melayu terbesar dalam pentas demokrasi Malaysia.

Lebih menyedihkan katanya, parti tewas apabila pemimpin menjadi Perdana Menteri manakala ahli Parlimennya pula menganggotai Jemaah Menteri.

“Banyak sekali orang dalam UMNO yang menyeru untuk kita bangkit. Mengkritik itu dan ini, sedangkan mereka lupa, UMNO kecundang di kala kita juga dahulu sebahagian kerajaan.

“Justeru, janganlah kita terus bermain dengan ‘the blame game’. UMNO tidak akan bangkit, jika kita terus terperangkap dalam ‘blame game’ ini. Nasib dan masa depan UMNO adalah urusan kita. Tiada yang mampu mengubah nasib UMNO kecuali kita jua,” tegas Mohamad. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya