SEREMBAN: Pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini memaklumkan penularan surat bertajuk ‘Kerahan Pelajar Untuk Menghadiri Temu Anwar @ Negeri Sembilan di Dewan Tunku Canselor, USIM’ di media sosial ketika ini merupakan surat palsu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM hari ini, pihak universiti mengambil perhatian serius di atas penularan surat palsu berkenaan.
“Pihak universiti tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk surat seperti yang ditularkan dan ia adalah palsu.
“Satu laporan polis telah dibuat dan pelaporan kepada aplikasi media sosial di atas pelanggaran peraturan dan syarat perkhidmatan terhadap akaun berkaitan telah dilakukan.
“Pihak universiti amat kesal di atas penghasilan dan penularan surat dan maklumat yang tidak berasas ini,” kata kenyataan tersebut lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira dua jam Temu Anwar@Negeri Sembilan di Dewan Tunku Canselor, USIM di Nilai di sini yang dihadiri lebih 3,000 orang pelajar universiti, politeknik dan sekolah menengah sekitar negeri ini.-UTUSAN.