Penjaja D’Anjung Selera Madani nikmati potongan lesen hingga 50

Penjaja D’Anjung Selera Madani nikmati potongan lesen hingga 50 peratus

Penjaja D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur, Bandar Tun Razak bakal menikmati pemotongan bayaran lesen sebanyak 50 peratus.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran setiap lesen perniagaan berjumlah RM400 untuk 24 gerai di D’Anjung Selera Madani, Bandar Tun Razak dikurangkan sehingga RM200 bermatlamat mengurangkan beban penjaja di kawasan berkenaan.

Para penjaja di situ akan menikmati potongan bayaran sebanyak 50 peratus dengan syarat mereka tidak culas membayar bayaran fi itu mengikut masa yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Menurut Anwar, beliau memberi kuasa kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh untuk membatal dan menarik semula lesen para penjaja yang tidak membayar fi berkenaan tanpa alasan yang munasabah. 

“Semua kerajaan negeri dan majlis perbandaran mesti ada perubahan jelas bagi meningkatkan standard gerai dan mesti bersih. Apabila dibuat bersih, maka sewa dinaikkan. Sekarang, dinaikkan sebanyak RM400. Itu masalah sikit. Jadi bagaimana? Patutkah dikurangkan RM300? 

“Cadangan RM400 itu dari DBKL dan dicadangkan pula oleh penjaja sebanyak RM250. Jadi saya rasa, kita turunkan sehingga RM200. Tetapi, saya jelaskan kepada datuk bandar, melainkan keadaan darurat, jika penjaja tidak bayar, kita ambil semula lesen itu. 

“Kita turunkan lebih rendah daripada permintaan penjaja. Saya kurangkan 50 peratus jadi sekiranya gagal bayar, akan dibatalkan lesen dan diberi pada orang lain,” katanya ketika berucap dalam Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur. 

Yang turut hadir ke program itu adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Mohd Zuki Ali.

D’Anjung Selera Madani dibangunkan dan diindahkah sejajar dengan hala tuju Perdana Menteri untuk memastikan gerai, warung dan medan selera di Kuala Lumpur mempunyai fasiliti yang bersih, cantik, moden serta tersusun.

Jelas Anwar, kerajaan Madani berbeza berbanding kerajaan terdahulu iaitu pada keprihatinan kelompok peringkat bawah.

“Dalam beberapa ucapan, saya sebut kita hendak Kuala Lumpur iaitu  ibu negara bersama Putrajaya, indah dan megah, projek mega juga sudah banyak, hotel lima, enam dan tujuh bintang dan restoran besar juga ada.

“Namun, kita hendak juga beri kemudahan bagi rakyat terbanyak, mereka ini tidak pergi hotel lima bintang atau restoran besar. Oleh itu, kita sebagai kerajaan bersama penjawat awam serta datuk bandar, adalah memberikan kemudahan kepada rakyat. 

“Kita ada warung, gerai dan pusat-pusat perniagaan kecil tetapi tidak sepadan. Berbilion ringgit dibelanjakan untuk projek besar, tetapi tempat kecil untuk menjamin tempat perniagaan yang selesa tidak ada. Kita bukan hendak bina mahligai, saya beritahu datuk bandar, bersih adalah keutamaan, kemudahan asas perlu ada dan biarlah tempat itu indah dan selesa,” katanya. 

Perdana Menteri turut berkata, beliau mahu semua projek melibatkan kemudahan rakyat dipercepatkan supaya tidak membuang masa. 

“Saya diberikan taklimat oleh datuk bandar dan ketua pengarah, program untuk pembangunan Kuala Lumpur dan saya berpuas hati tapi saya suruh cepat, kalau projek itu makan masa enam bulan, saya minta cepatkan kepada tiga bulan. 

“Kita sudah tinggalkan peluang ini sudah lama, inilah peluang walaupun kita ada kewangan yang terbatas, tetapi, ini masanya kita guna kuasa sebaiknya jalankan amanah. Jangan kira komisen, jangan kira keuntungan ambil wang haram dan jangan kira rasuah. 

“Ini nak bagi lesen kepada peniaga juga, ada yang mahu komisen dulu. Kalau ada berlaku perkara itu, lapor pada saya,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya