Pengurangan subsidi hanya untuk golongan maha kaya -Anwar 

PARLIMEN: Pengurangan subsidi hanya untuk golongan maha kaya -Anwar 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengurangan pemberian subsidi hanya kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) manakala golongan M40 dan B40 masih lagi menerima manfaat tersebut. 

Beliau kemudian mempersoal tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang menggerakkan kempen mendakwa kerajaan ketika ini mengurangkan pemberian subsidi kepada semua lapisan masyarakat.

Tegasnya, pendekatan itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat dalam kalangan B40 dan M40, dan 90 peratus rakyat di negara ini tidak terkesan dengan pengurangan subsidi itu. 

“Saya kurang faham, di mana kurangnya subsidi? Kerajaan kurangkan (subsidi elektrik dan haji) hanya bagi golongan maha kaya, bukan untuk rakyat. 

“Pemberian subsidi tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.

“Kenapa mahu politikkan isu ini? Kita mahu jadi jaguh siapa?” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr. Radzi Jidin [PN-Putrajaya] mengenai pendekatan pengurangan pemberian subsidi yang membebankan rakyat.

22 Mei lalu, Anwar memberitahu, T20 tidak akan dapat lagi menikmati manfaat subsidi penggunaan elektrik apabila kerajaan memutuskan menarik manfaat itu dan pengguna yang kaya raya terpaksa menanggung kos tersebut sepenuhnya. 

Beliau berkata, ia hanya terpakai kepada golongan T20 yang menghuni rumah besar kerana yakin mereka mampu membayar kos elektrik dengan harga yang tinggi, tidak seperti golongan berpendapatan rendah (B40). 

Selain itu, beliau berkata, golongan T20 juga tidak akan menerima lagi subsidi dari kerajaan untuk tujuan menunaikan haji dan mereka harus menanggung kos tersebut sepenuhnya berjumlah RM30,850 seorang seperti yang diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum ini. 

Oleh itu, katanya, sistem penyelarasan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini akan diguna untuk menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak. 

Lembaga Tabung Haji (TH) pada Mac lalu pula mengumumkan bayaran haji seorang jemaah muassasah bagi kumpulan B40 dan M40 masing-masing perlu membayar sebanyak RM11,980 dan RM15,980, manakala kumpulan T20 perlu menanggung kos haji sepenuhnya sebanyak RM30,850 seorang. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya