KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pihak tertentu tidak memelihara kemakmuran negara dengan terlibat dalam kegiatan kebocoran peruntukan terutamanya melibatkan subsidi kepada penduduk miskin.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan kemakmuran negara yang dikecapi selama ini, semua golongan rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Sebaliknya, menurut beliau, subsidi yang diperuntukan kepada golongan memerlukan pada setiap tahun diselewengkan dalam jumlah yang banyak.
Kata beliau, keadaan tersebut menyebabkan peruntukan subsidi untuk penduduk miskin tidak pernah mencukupi.
“Negara ini makmur, bocornya banyak. Percayalah. Kes-kes yang ditangkap itu, baru mula-mula. Duit minyak, makan dan diesel pun sakau (oleh golongan kaya). Jadi sampai bila akan cukup,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
Anwar erkata, beliau mahu masalah kebocoran dan penyelewengan peruntukan tersebut dihentikan segera demi kesenangan rakyat pada masa hadapan.
Beliau berkata, badan penguat kuasa termasuk di Kelantan perlu mengambil tindakan tegas terhadap ketirisan subsidi daripada terus berleluasa.
PERHATI
“Badan penguat kuasa di Kelantan perlu perhati (kes kebocoran) dan laksanakan dengan baik. Tidak boleh lagi lakukan begitu (kebocoran dan penyelewangan subsidi),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah subsidi elektrik sebanyak RM30 bilion yang tidak dikawal pada tahun ini dilihat mampu merencatkan cadangan kerajaan untuk banyakkan pembinaan sekolah dan universiti baharu.
Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan baru-baru ini telah membatalkan keputusan untuk menaikkan kadar elektrik yang ditetapkan oleh kerajaan terdahulu.
“Ramai yang kata fitnah (naikkan kadar elektrik). Kita ada rekod dan pernah diumumkan menteri pada ketika itu. Tidak boleh laksanakan perkara itu (naikkan kadar elektik) bagi rakyat yang tengah susah.
“Ia jadi satu beban kepada rakyat. Bagi kerajaan, tidak naikkan kadar elektrik juga satu beban,” katanya. – UTUSAN